Dr Mahathir dakwa sebar video tindakan terancang

A
A

1. Dr Mahathir dakwa sebar video tindakan terancang

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penyebaran video lucah mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai satu tindakan terancang yang mempunyai agenda politik.

Katanya, kecanggihan teknologi hari ini membolehkan mana-mana pihak menyunting gambar bagi tujuan tertentu.

Katanya, beliau tidak percaya ketulenan video itu kerana dengan kecanggihan teknologi terkini video seperti itu boleh dihasilkan.

Katanya lagi, mungkin suatu hari nanti video melibatkan beliau pula yang akan tersebar.

2. SKMM akan ambil tindakan pihak sebar kandungan lucah di internet

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memuat naik, menyebar ataupun berkongsi kandungan berunsur lucah di internet.

Suruhanjaya itu dalam kenyataannya berkata perkara berkenaan selari dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan pihak yang didapati melanggar undang-undang ini boleh dikenakan penjara selama setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam satu kenyataan pihak MCMC menyatakan bahawa pihaknya akan menyiasat kes-kes penyebaran kandungan berunsur jelik dan lucah serta akan menyekat laman-laman sesawang yang didapati menyebarkan kandungan berkenaan.

Di samping, kerjasama dengan pihak pengendali platform seperti Facebook turut diambil untuk memastikan kandungan lucah tersebut tidak tular.

3. Tulang mangsa maut dijangkiti kuman ditemui

Polis menemui tulang mayat dipercayai Orang Asli suku Batek yang meninggal dunia kerana jangkitan kuman pada saluran pernafasan, di kawasan hutan berhampiran Kuala Koh, petang semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata tulang itu ditemui berselerak di bawah sebatang pokok yang terletak tujuh kilometer dari perkampungan Orang Asli Kuala Koh.

Beliau berkata, setakat ini, pasukan pencarian yang memulakan operasi sejak 2.30 petang semalam baru menemui satu kubur yang diletakkan tanda, sebelum meneruskan operasi mencari 11 lagi kubur milik mangsa lain.

Ditanya mengenai sekatan di Aring 10 dan zon merah beliau berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan demi keselamatan semua.

4. Pukul isteri gara-gara tak diberi duit raya, mekanik dipenjara setahun

Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Terengganu, semalam kerana mencederakan isterinya hanya kerana tidak diberi duit raya anak berjumlah RM10 pada minggu lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Hafiz Man, 32 tahun , mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, Abdul Hafiz didakwa mencederakan isterinya, Nazirah Mat Noor, 31 tahun, di rumah mereka di Kampung Titian Kulat, Gong Pak Damat di Kuala Nerus kira-kira pukul 12 tengah hari pada 6 Jun lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa memukul isterinya dengan papan selaju sehingga menyebabkan wanita tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala.

5. A Rahman Hassan kembali ke rahmatullah

Penyanyi popular era 60-an, Datuk A. Rahman Hassan, 73 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.40 tengah malam tadi akibat komplikasi paru-paru.

Penyanyi veteran ternama itu sebelum ini ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang akibat pendarahan otak dan angin ahmar.

Menaklumkan perkara tersebut menerusi laman sosial Instagram, anaknya, Khir Rahman memberitahu, jenazah bapanya akan dibawa ke kediaman keluarga tersebut di Taman Sri Ukay sebelum dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Taman Keramat.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia