Borang kebenaran ceramah akan diteliti: Tosrin

Tosrin Jarvanthi
A
A

JOHOR BAHRU - Setiap program ceramah yang ingin dianjurkan dalam masjid dan surau di negeri ini, perlu diteliti terlebih dahulu bagi memastikan rumah ibadat tersebut tidak dijadikan 'gelanggang politik' oleh mana-mana pihak terutama orang politik.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, bermula Julai ini, semua borang kebenaran ceramah di masjid perlu dihantar kepadanya untuk penelitian sebelum kebenaran diberikan.

"Arahan telah dikeluarkan bermula Julai ini, setiap borang kebenaran ceramah di masjid perlu berada di atas meja saya setiap bulan untuk diteliti sama ada ia mendapat kelulusan atau tidak.

"Perkara ini bagi memastikan mana-mana parti politik tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang politik kerana ia merupakan tempat pengukuhan dan penyatuan ummah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Johor, di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular beberapa kejadian melibatkan ahli politik termasuklah bukan beragama Islam berucap dalam surau atau masjid di negeri ini sehingga mengundang kritikan ramai pihak.

Tosrin berkata, garis panduan dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor mengenai perkara itu juga sudah diedarkan kepada semua jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini.

Katanya, oleh itu, pengurusan jawatankuasa masjid dan surau mesti mendapatkan nasihat atau pandangan kadi daerah dahulu.

"Kita bukan melarang sama sekali tetapi ada juga batas dan tata susila tertentu untuk menjemput orang bukan Islam di luar masjid.

"Ada garis panduan yang mana kebanyakan pengurusan jawatankuasa masjid tidak mendapatkan pandangan pejabat kadi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membuat pemantauan lebih ketat berhubung perkara itu, selain berharap garis panduan dikeluarkan dapat mengelakkan perkara sama berulang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia