Henti sebar video fitnah: Saifuddin

Saifuddin menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen dan PH Indera Mahkota di Dewan Atabara di Indera Mahkota di sini malam ini.
A
A

KUANTAN - Penyebaran klip video intim mirip seorang menteri sejak semalam perlu dihentikan segera dalam membanteras gejala fitnah berlarutan.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, fitnah itu bukan sahaja merupakan satu dosa malah perbuatan berkenaan tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Saifuddin yang juga Menteri Luar turut menyifatkan penyebaran klip video berkenaan sebagai amalan politik kotor yang tidak akan membawa negara ini bergerak ke hadapan.

"Kita dalam PH berusaha untuk menegakkan amalan politik baharu yang antara lain bermakna politik hikmah dan bukannya politik fitnah.

"Perkara ini perlu dihentikan segera kerana membawa kita ke dalam alam fitnah yang tiada henti sebaliknya harus tumpu perhatian membangunkan negara dan beri hikmah pada rakyat," katanya kepada media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen dan PH Indera Mahkota di Dewan Atabara di Indera Mahkota di sini malam ini.

Hari ini, individu yang didakwa bersama lelaki mirip menteri Kabinet tersebut dalam video berkenaan tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi itu.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mengalu-alukan pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan segera dalam isu berkenaan termasuk melakukan siasatan dan lain-lain.