MITI hos dialog dengan barisan duta negara-negara Afrika ke Malaysia

Darell Leiking- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking mengetuai dialog meja bulat bersama barisan duta negara-negara Afrika ke Malaysia pada 3 Jun sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kementerian itu untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan ekonomi global.

Semasa dialog berkenaan, kedua-dua pihak mengakui peluang yang luas di rantau Afrika untuk diterokai, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju bahawa tumpuan dan aktiviti perdagangan strategik dan promosi pelaburan adalah penting bagi memastikan lebih banyak manfaat diperoleh menerusi kerjasama tiga pihak iaitu kedutaan, sektor swasta dan kerajaan.

“Bidang berpotensi itu merangkumi komponen dan bahagian automotif, bahan bangunan, konsesi infrastruktur termasuk lebuhraya, pelabuhan, perumahan awam, bangunan kerajaan, teknologi maklumat dan komunikasi, pertanian dan industri halal,” katanya.

Darell berkata Malaysia perlu terlibat semula dengan Afrika berikutan ia merupakan pasaran sedang pesat membangun dan mempunyai prospek yang menarik bagi pelabur Malaysia.

Beliau turut berharap Kerjasama Selatan-Selatan akan diberi nafas baharu khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, selain mengalu-alukan cadangan agar Forum Perniagaan Afrika-Malaysia 2019 diketuai pihak Afrika.

Diterajui Duta Besar Zimbabwe ke Malaysia Cuthbert Zhakata, delegasi Afrika terdiri daripada 21 pegawai, termasuk 14 duta besar dan pesuruhjaya tinggi Algeria, Mesir, Gambia, Ghana, Kenya, Lesotho, Namibia, Senegal, Somalia, Afrika Selatan, Sudan, Uganda, Zambia dan Zimbabwe selain pegawai tinggi kedutaan dari Guinea, Morocco, Nigeria dan Tanzania.

Pada 2018, jumlah pelaburan dengan Afrika berjumlah RM31.38 bilion, dengan eksport ke Afrika sebanyak RM18.97 bilion dan import RM12.41 bilion.

Eksport utama Malaysia ke Afrika ialah minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit, makanan proses, produk petroleum, jentera, peralatan serta elektrik dan elektronik.

Sementara itu, import utama Malaysia dari Afrika ialah petroleum mentah, bijih metalik, sekerap logam, getah asli, produk besi dan keluli. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia