JPJ nafi anggota langgar remaja

Anggota penguat kuasa JPJ menyita motosikal jenis Yamaha RXZ yang telah dilakukan pengubahsuian secara haram dalam operasi kelmarin.
Anggota penguat kuasa JPJ menyita motosikal jenis Yamaha RXZ yang telah dilakukan pengubahsuian secara haram dalam operasi kelmarin.
A
A
A

DUNGUN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menafikan dakwaan bahawa anggotanya melanggar seorang remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya ketika melakukan operasi di Kampung Seberang Pintasan, di sini, semalam.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, dakwaan yang disebarkan menerusi media sosial WhatsApp itu tidak benar kerana pihaknya hanya menemui motosikal milik remaja itu ditinggalkan di suatu tempat selepas remaja itu melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

Katanya, ketika kejadian, anggota sedang melakukan rondaan di jambatan Kampung Seberang Pintasan sebelum anggotanya terserempak dengan remaja berumur lingkungan 20-an itu sedang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ secara laju dan berbahaya.

"Semasa remaja terbabit diarahkan berhenti, dia tidak memberikan kerjasama dan bertindak memecut motosikalnya.

"Kami menemui motosikal itu di Kampung Bijangga yang jaraknya sejauh kira-kira satu kilometer dari jambatan tersebut dimaklumkan penduduk kampung tetapi ketika kami tiba, remaja terbabit tiada," katanya.

Zulkarnain berkata, remaja berkenaan berkemungkinan terjatuh daripada motosikalnya ketika cuba melarikan diri dan meninggalkan motosikal miliknya di kawasan tersebut.

"Hasil pemeriksaan mendapati motosikal tersebut telah dibuat pengubahsuian secara haram sepenuhnya dan kita percaya ianya digunakan untuk tujuan berlumba," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menyita motosikal terbabit untuk siasatan lanjut dan satu laporan polis telah dibuat pada hari yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah berkenaan kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan buat siasatan lanjut terhadap motosikal itu. Jika sabit kesalahan, remaja tersebut boleh didenda sehingga RM2,000," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita yang diragui kesahihannya sebaliknya perlu mendapatkan maklumat yang betul daripada pihak yang berkaitan.