Dicekup selepas 5 jam curi beg tangan dalam masjid

Suspek yang mencuri dalam Majlid Mukim Binjai berjaya dicekup kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
Suspek yang mencuri dalam Majlid Mukim Binjai berjaya dicekup kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
A
A
A

KEMAMAN - Hasil kecekapan polis, seorang remaja lelaki berjaya dicekup hanya dalam tempoh kira-kira lima jam selepas mencuri beg tangan dalam Masjid Mukim Binjai, semalam ketika jemaah masjid sedang menunaikan Solat Subuh berjemaah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, suspek yang berusia 16 tahun berjaya ditahan kira-kira jam 10.30 pagi semalam iaitu selepas dua jam pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, laporan berhubung kes itu dibuat di Balai Polis Chukai kira-kira jam 8.30 pagi semalam oleh seorang wanita berusia 30 tahun yang juga seorang suri rumah.

Katanya, mangsa menanggung kerugian kira-kira RM2,000 selepas beg tangannya dicuri suspek ketika dia sedang menunaikan solat berjemaah.

"Suspek yang sudah tidak bersekolah sejak berusia 10 tahun berjaya ditahan di sebuah rumah di Kampung Tok Kapur, Binjai.

"Ketika ditahan suspek tidak melawan dan pemeriksaan lanjut telah berjaya menemui semula beg tangan bersama empat keping pasport milik mangsa dan anaknya serta sebuah telefon bimbit," katanya.

Mohd Haki berkata, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut dan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi semalam, perbuatan suspek merembat beg tangan jemaah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan beberapa rakaman klip video itu turut tular di aplikasi WhatsApp.