Fama sedia bantu pesawah, keluar daripada kemiskinan

Ahmad memberi ucapan kepada kakitangan Fama Kedah pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Fama Kedah, di sini hari ini.
Ahmad memberi ucapan kepada kakitangan Fama Kedah pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Fama Kedah, di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR -Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bersedia membantu memberi bimbingan kepada pesawah untuk meningkatkan pendapatan mereka dan keluar daripada kemiskinan.

Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya golongan berkenaan memperbaharui cara tanaman dan membabitkan diri dalam tanaman kontan.

Ahmad berkata, cadangan pesawah mempelbagaikan tanaman dilihat dapat membantu mereka meningkatkan pendapatan, sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap hasil padi semata-mata.

"Malah, saranan berkenaan dilihat mampu menyediakan bekalan segar pada harga berpatutan, mengurangkan jumlah import dari luar negara, sekaligus menjamin keselamatan bekalan makanan negara.

"Untuk itu, kita bersedia memberi bimbingan dan memberi maklumat berkaitan diperlukan mereka berdasarkan kajian jumlah permintaan dilaksanakan Fama," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Fama Kedah, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Fama Kedah, Anuar Mohamed.

Ahmad berkata, pihak boleh memberi maklumat dan cadangan kepada pesawah berhubung jenis tanaman dan tanah bersesuaian untuk diusahakan mereka, selain bantuan pemasaran.

"Antara beberapa jenis tanaman jenis jangka pendek yang boleh disyorkan kepada pesawah untuk diusahakan, ialah tembikai, jagung manis dan cili," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pesawah juga boleh memanfaatkan aneka kemudahan di bawah Fama, seperti 334 pusat jualan untuk tujuan pemasaran hasil tanaman mereka.

"Antara lain, pusat pengumpulan tanaman, tempat penyimpanan, pengangkutan dan pemprosesan boleh dimanfaatkan apabila menyahut seruan itu," katanya.

Semalam, Dr Mahathir memberitahu kerajaan mengenal pasti beberapa langkah untuk menangani kemiskinan golongan pesawah dengan kaedah pertanian moden.