Kurap boleh berjangkit dengan sentuhan

No Image Caption
A
A
A
TENTU kita biasa mendengar mengenai jangkitan penyakit ini.

Kurap atau nama lainnya ‘ringworm’ merupakan sejenis jangkitan kulat yang berlaku pada kulit manusia.

Dalam dunia perubatan, kurap turut dikenali sebagai ‘tinea’. Kawasan yang sering dijangkiti termasuklah kulit kepala, kemaluan dan kaki.

Selain itu, rambut dan kuku juga boleh terkena jangkitan kulat. Kebiasaannya, kurap tidak terjadi kepada manusia yang sihat.

Sebaliknya, mereka yang lemah sistem imun tubuh badan berisiko untuk mendapat penyakit ini. Sebagai contoh, orang tua, kanak-kanak, penghidap kencing manis, pesakit kegagalan buah pinggang, HIV, dan AIDS.

Apa penyebab kurap?

Kurap disebabkan oleh jangkitan kulit oleh sejenis kulat (fungi) yang dikenali sebagai ‘dermatophyte’.

Diagnosis akan diberikan mengikut kawasan yang dijangkiti. Sebagai contoh, jangkitan di bahagian kaki dipanggil ‘tinea pedis’ (athlete’s foot).

Jika berlaku di bahagian alat sulit pula, ia dinamakan ‘tinea cruris’. Walaupun nama berbeza, tetapi secara umumnya punca penyakit ini masih tetap sama iaitu kulat ‘dermatophyte’.
Artikel Berkaitan:


Berbeza dengan gelaran popularnya iaitu ‘ringworm’ (‘ring’ = cincin, dan ‘worm’ = cacing), penyakit ini bukanlah disebabkan oleh jangkitan cacing. Sebaliknya, gelaran ini digunakan sebagai rujukan kepada bentuk ruam yang terhasil setelah dijangkiti kurap.

Kurap boleh berjangkit melalui sentuhan kepada manusia, haiwan, tumbuhan, mahupun objek yang telah terjangkit.

Oleh itu, cara yang terbaik untuk mengelakkan penyakit ini ialah dengan menjauhi daripada bersentuhan dengan seseorang atau haiwan yang telah disahkan menghidapi kurap pada kawasan yang terlibat sehingga rawatan diberikan.

Selain itu, tanah, permukaan, serta objek yang telah dipegang oleh manusia atau haiwan juga boleh membawa kulat kurap dan perlu diuruskan dengan berhati-hati. Contohnya seperti dinding, lantai, pakaian, cadar, tuala, dan sikat.