Mat rempit kena saman

Motosikal yang dirampas dibawa ke balai untuk disita.
A
A

LYAN - Polis mengeluarkan 50 saman pelbagai kesalahan dalam satu operasi mencegah samseng jalanan di Jalan baru Teroi semalam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar berkata, operasi itu dijalankan pada jam 4 petang hingga 8 malam.

Menurutnya, operasi itu diadakan selepas menerima aduan daripada orang awam yang terganggu dengan kegiatan mat rempit di kawasan berkenaan.

"Kehadiran mat rempit di kawasan itu mengganggu pengguna jalan raya dan penduduk setempat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shahnaz berkata, pihaknya turut menyita tujuh buah motosikal di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mat rempit yang berjaya ditahan ketika operasi mencegah samseng jalanan di Jalan baru Teroi semalam.
Mat rempit yang berjaya ditahan ketika operasi mencegah samseng jalanan di Jalan baru Teroi semalam.

"Motosikal yang disita terdiri daripada pelbagai jenis antaranya ialah Yamaha 125Z, Yamaha RXZ dan Honda EX-5.

"Kesemua motosikal berkenaan telah diubahsuai tanpa kebenaran dan semakan turut mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh," ujarnya.

Beliau berkata, sebahagian pesalah yang disaman terdiri daripada remaja lelaki yang berumur 12 hingga 22 tahun.

"Kesalahan paling banyak ialah menunggang motosikal meskipun bawah umur dan tiada lesen memandu," katanya.

Katanya, pihaknya turut memanggil Ibu bapa dan juga waris bagi mengeluarkan saman kerana membenarkan anak-anak di bawah jagaan menunggang motosikal tanpa lesen memandu.