Didik kanak-kanak makan secara sihat, menyeronokkan

A
A

NESTLE Malaysia menyambut Hari Chef Antarabangsa bersama lebih 50 kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Angel dan Rumah Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Lighthouse, serta 77 chef dari Persatuan Culinaire Profesional Malaysia (PCA) bagi tahun keempat berturut-turut.

Bertemakan ‘Makanan Sihat untuk Membesar’, sambutan itu menggalakkan kanak-kanak untuk memikirkan tentang kerjaya mereka pada masa hadapan dan bagaimana tabiat memakan buah-buahan dan sayur-sayuran yang sihat boleh membantu mereka mencapai cita-cita mereka.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle Professional, Nestle (Malaysia) Berhad, Yit Woon Lai berkata, pada Hari Chef Antarabangsa, chef di seluruh dunia berpeluang memberi impak terhadap masyarakat mereka, dan menunjukkan kepada kanak-kanak bahawa makanan yang sihat adalah lazat dan seronok untuk dimakan.

“Kami percaya sambutan ini adalah peluang yang baik untuk mendekati kanak-kanak, bukan sahaja dengan mengajar mereka mengenai tabiat makan yang sihat, tetapi juga memberi kefahaman yang lebih baik tentang pentingnya pengambilan makanan yang sihat,” katanya.

Sepanjang hari tersebut, pelbagai aktiviti-aktiviti menyeronokkan telah dijalankan untuk menambah pengetahuan kanak-kanak tentang pemakanan dan makanan yang sihat.