Haris angkat sumpah Datuk Bandar Shah Alam baharu

Haris (kanan) menerima Nota Serah Tugas daripada Timbalannya, Mohd Rashidi (kiri) yang memangku jawatan tersebut sejak Januari lalu. - Foto: Ihsan MBSA
Haris (kanan) menerima Nota Serah Tugas daripada Timbalannya, Mohd Rashidi (kiri) yang memangku jawatan tersebut sejak Januari lalu. - Foto: Ihsan MBSA
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim hari ini mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam ​yang ​baharu.

Pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-8 itu menggantikan Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Tanah dan Galian berkuatkuasa 7 Januari l​​alu.

Selepas dilantik, Haris, 57, melaporkan diri ​​pada 3 Jun lalu​ ​​untuk memulakan tugas baharu​ tersebut yang sebelum ini dipangku oleh Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashidi Ruslan.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Lumut, Perak itu akan menjawat jawatan tertinggi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk tempoh selama dua tahun.

​Haris ketika ditemui media memberitahu, ​sebagai Datuk Bandar yang baharu beliau akan memberi penumpuan kepada lima teras iaitu pemantapan perkhidmatan perbandaran, mendekati masyarakat melalui aktiviti turun padang, mempelbagaikan perkhidmatan dalam talian melalui pembudayaan teknologi, pengukuhan kewangan melalui peningkatan hasil dan memperkasa sumber manusia.

"Menjadi harapan bagi setiap pentadbir PBT untuk memastikan kecemerlangan bukan hanya sekadar impian semata-mata.

"Jadi lima teras inilah yang akan saya beri perhatian selaras dengan visi 3S untuk menjadikan Shah Alam bandaraya yang 'Selamat, Selesa dan Sejahtera'," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Katanya, beliau berharap pengurusan tertinggi MBSA yang profesional serta barisan Ahli-ahli Majlis MBSA yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, pengetahuan juga kemahiran, dapat memberi kerjasama dan komitmen terbaik bagi membantunya memacu kecemerlangan MBSA.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya pengurusan tertinggi serta ahli-ahli majlis menggabungkan idea serta pemikiran secara bersepadu, pasti akan memberi satu lonjakan dan perubahan ke arah yang lebih baik dalam memperkasakan lagi sistem penyampaian MBSA ke tahap yang lebih tinggi.​

"Adalah lebih baik untuk kita mencari jalan penyelesaian, menyumbang dan memperkembangkan idea agar dapat menyediakan hasil yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak," katanya berharap dapat menggunakan sebaik mungkin pengalaman serta pengetahuan dimiliki selama berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan bagi memperkasa MBSA.

​Haris yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Malaya​​ mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran​, selain ​turut mempunyai Diploma dalam Pentadbiran Awam dan Pengurusan Awam dari Institut Tadbiran Awam (INTAN).

Beliau juga sebelum ini pernah bertugas sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor pada 2005 hingga 2011, Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (2011), Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Sepang (2012-2014) serta terakhir sebagai Pengarah JAIS (2015-2019).