RCI Wang Kelian masuk hari ke-14

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis memasuki hari ke-14 hari ini.

Sehingga 28 Mei lepas, seramai 38 individu telah memberi keterangan termasuk tiga saksi pada sesi terakhir yang diadakan secara tertutup sebelum prosiding berehat sempena sambutan Aidilfitri.

Prosiding yang bermula kira-kira 10.40 pagi dijangka menampilkan tiga lagi individu untuk memberi keterangan di hadapan panel tujuh anggota diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Individu pertama memberi keterangan hari ini ialah Pakar Perunding Kanan Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr Mohd Suhani Mohd Noor.

RCI yang diperkenan penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lepas berlangsung di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini yang diubah suai menjadi seperti mahkamah.

Ia diadakan susulan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand pada 2015.

RCI itu antara lain akan meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan dengan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian. - Bernama

Artikel Berkaitan: