Melaka dilanda banjir kilat

Anggota APM sedang membantu memindahkan mnagsa banjir di Kampung Lapan awal pagi tadi sebelum PPS Taman Anika ditutup jam 10.30 pagi tadi setelah air surut sepenuhnya.
Anggota APM sedang membantu memindahkan mnagsa banjir di Kampung Lapan awal pagi tadi sebelum PPS Taman Anika ditutup jam 10.30 pagi tadi setelah air surut sepenuhnya.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Hujan lebat berpanjangan sejak malam tadi menyebabkan kira-kira 68 mangsa daripada 19 buah keluarga dari Kampung Enam di sini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Melaka Tengah Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet berkata, kesemua mangsa ditempatkan di PPS Balairaya Taman Anika Kampung Lapan yang dibuka sejak jam 5 pagi tadi.

Menurutnya, setakat jam 8 pagi, sebanyak lapan buah kawasan lain turut terjejas termasuk Taman Melaka Baru Fasa 2, Taman Limbongan, Taman Merdeka, Taman Malim, Taman Bachang, Taman Lorong Pandan, Taman Jati dan Pulau Kelapa.

"Anggota kita telah digerakkan ke lokasi yang terjejas termasuk Kampung Enam dan mendapati rumah penduduk dinaiki air sedalam 0.9 meter.

"Demi keselamatan kita mengambil tindakan awal memindahkan mereka yang terdiri daripada enam warga emas, 39 dewasa dan 23 kanak-kanak ke pusat pemindahan sementara," katanya.

Bagaimanapun Balairaya Taman Anika ditutup pada jam 10.30 pagi setelah air surut sepenuhnya dan semua mangsa telah pulang ke kediaman masing- masing.

Tambahnya, walaupun banjir telah mula surut namun kesemua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih dalam keadaan berjaga-jaga dan Pusat Kawalan Operasi Daerah APM beroperasi 24 jam.

Artikel Berkaitan: