Padah halang lalu lintas

Antara kenderaan yang ditunda kerana menghalang lalu lintas.
Antara kenderaan yang ditunda kerana menghalang lalu lintas.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Subang Jaya melaksanakan operasi bersepadu di kawasan SS15 bagi mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang menghalang laluan di kawasan itu.

Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, operasi itu dilaksanakan susulan aduan kesesakan yang diterima disebabkan sikap segelintir pengguna yang sering meletak kenderaan secara bertindan serta menghalang laluan.

Beliau berkata, sebanyak 122 saman POL 170A telah dikeluarkan kepada pesalah trafik atas pelbagai kesalahan.

“Malah MPSJ turut mengambil tindakan di lokasi di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukkan Tempat Letak Kereta) Majlis Perbandaran Subang Jaya Pindaan 2011.

“Sebanyak 12 Notis Tawaran Kompaun dikeluarkan, 10 tindakan kapit kenderaan (clamping) serta dua kenderaan ditunda ekoran melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Azfarizal berkata, seramai 16 anggota penguatkuasa MPSJ, dua Pegawai Trafik dan 12 anggota polis telah mengikuti operasi bersepadu itu yang bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Menurutnya, MPSJ meminta pemilik kenderaan untuk lebih mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap mereka.

Artikel Berkaitan: