Anak derhaka ugut sembelih ibu

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Hanya kerana tidak diberikan wang, seorang anak lelaki sanggup mengugut untuk menyembelih ibunya.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian tersebut berlaku di sebuah rumah di Kampung Ara Payung, Batu Gajah kira-kira jam 1.15 petang tadi.

Katanya, tindakan tersebut menyebabkan ibu suspek yang berusia 71 ketakutan dan keluar menuju ke rumah jiran mendapatkan bantuan.

"Pengadu seterusnya datang ke Balai Polis Batu Gajah untuk buat laporan sebelum tangkapan dibuat ke atas lelaki berusia 33 tahun itu pada jam 4 petang tadi.

"Suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah merupakan anak bongsu daripada lima beradik yang menetap di rumah tersebut bersama pengadu," katanya dalam kenyataan kepada media media hari ini.

Ahmad Adnan berkata, berdasarkan keterangan pengadu yang merupakan ibu suspek, kejadian tersebut merupakan kali kedua selepas kali pertama mengugut untuk membunuh ahli keluarga pengadu.

Menurutnya, bagaimanapun kejadian kali pertama yang berlaku sebelum bulan Ramadan lalu tidak dilaporkan kepada polis.

"Suspek juga mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah malah ujian air kencing juga menunjukkan dia positif dadah jenis morfin.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.