Beri 'pulangan' tinggi kepada kesihatan

A
A

KEPADA mereka yang menggemari buah jambu batu, anda sungguh bertuah kerana ia memberi 'pulangan' yang tinggi kepada kesihatan tubuh badan.

Jambu batu atau nama saintifiknya psidium guajava linn sebenarnya berasal dari negara Peru dan Mexico.

Di Malaysia, penanaman secara komersil bermula pada pertengahan tahun 1980 di beberapa negeri iaitu di Perak, Johor, Selangor dan Pahang.

Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, buah tersebut kaya dengan serat makanan, vitamin C, A, E, B, kalium, fosforus, magnesium, kalsium, sodium, zink dan banyak lagi.

Jambu batu mampu merendahkan risiko kanser
Jambu batu mampu merendahkan risiko kanser

Selain dimakan mentah, jambu batu juga biasanya diolah menjadi jus, jem, kek, pai dan manisan. Malah, ia turut digunakan dalam produk kecantikan.

Pakar Nutrisi Dietetik Amerika Syarikat, Vanessa Voltolina menyenaraikan kebaikan buah tersebut menerusi laman web organicfacts.net.

1. Merendahkan risiko kanser

Kandungan likopena, quercetin, vitamin C dan polifenol yang terdapat dalam buah itu dikatakan sangat membantu menguatkan sistem imun badan.

Ia juga bertindak sebagai antioksidan yang akan meneutralkan radikal bebas yang dihasilkan oleh tubuh sekali gus mencegah pertumbuhan sel-sel kanser.

2. Cegah diabetes

Pengambilan buah jambu pada kadar yang tidak berlebihan boleh membantu pesakit yang menderita penyakit diabetes.

Buah yang kaya dengan serat pemakanan dan rendah indeks glisemik itu juga dikatakan mampu menurunkan tahap glukosa dalam darah.

Kandungan seratnya juga akan memastikan tahap gula dalam badan 'disusun atur' dengan baik.

Dalam satu kajian, buah jambu didakwa boleh membantu mencegah risiko diabetes tahap dua. Meskipun demikian, masih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengesahkan manfaatnya.

3. Mengawal tekanan darah

American Journal of Cardiology menyatakan, buah jambu dapat mengurangkan kadar kolesterol jahat. Ini kerana buah jambu amat kaya dengan serat dan bersifat hipoglisemia dalam mengurangkan tekanan darah.

4. Merawat cirit-birit

Khasiat jambu dipercayai dapat merawat gangguan pencernaan sama ada mengunyah buah atau daunnya.

Sifat astringen atau alkali pada buah itu akan memberi kesan kepada perut dan mengurangkan gejala cirit-birit. Ia juga dapat menghalang pertumbuhan mikro dan mengeluarkan lendir dari usus.

Bukan itu sahaja, nutrien lain seperti vitamin C, karotenoid dan kalium mampu menguatkan sistem penghadaman dan menyingkirkan bahan yang tidak perlu dalam perut.

5. Merawat batuk dan kesejukan

Kajian mengenai aktiviti antimikrobial dan ekstrak daun jambu yang diterbitkan dalam Jurnal Ethnopharmacology menyatakan, buah jambu sangat membantu dalam mengubati kesejukan tubuh badan dan gejala batuk.

Caranya dengan minum jus jambu atau merebus daunnya. Ia boleh mengurangkan rasa gatal dan tidak nyaman pada saluran pernafasan serta menghalang aktiviti mikrob dengan sifat astringen.

Selain itu, jambu yang kaya dengan vitamin C dan besi amat berkesan untuk mencegah dan mengurangkan selesema dan jangkitan virus.

Di beberapa kawasan di Malaysia dan India, buah jambu yang masak akan dibakar dan digunakan sebagai ubat batuk, selesema dan kesesakan nafas.

ANEKDOT

Khasiat jambu batu

Daun Jambu

- Mengandungi unsur asid palmitik dan asid palmitoleik.

- Dijadikan sebagai herba untuk merawat beberapa masalah kesihatan termasuk cirit-birit, diabetes dan obesiti.

- Dihidangkan sebagai teh untuk menurunkan berat badan, masalah kencing manis dan mencegah cirit-birit.

Biji jambu

- Boleh dimakan bijinya tanpa kesan negatif.

- Biji jambu mengandungi serat yang tinggi untuk membantu masalah gastrousus seperti sembelit.

- Memudahkan proses membuang air besar tanpa sebarang masalah.

Khasiat lain:

- Meningkatkan kesihatan tiroid.

- Merangsang fungsi otak.

- Menurunkan berat badan.

- Mengekalkan keanjalan kulit.

- Memperbaiki kesihatan mata.

- Menyembuhkan sakit gigi, gusi bengkak dan ulser mulut.

- Perangsang kekebalan tubuh daripada jangkitan dan pathogen.

- Menyihatkan jantung.

- Baik untuk wanita hamil (asid folik atau B9) dan membentuk sistem saraf bayi dan melindungi bayi yang lahir daripada masalah neurologi.

Sumber: organicfacts.net