Kenali pakaian yang disukai Rasulullah SAW

Lelaki boleh memakai apa sahaja pakaian yang tidak melebihi kedua buku lali mereka. -GAMBAR HIASAN.
A
A

WALAUPUN pakaian kita banyak dan penuh satu almari atau lebih tetapi pasti kita ada pakaian kegemaran, bukan?

Ya, setiap orang ada cita rasa masing-masing dalam berpakaian dan sudah tentulah keselesaan yang menjadi keutamaan.

Sepertimana kita, Nabi Muhammad SAW juga ada pakaian yang disukai baginda.

Rasulullah SAW gemar memakai Qamis iaitu baju seperti kurta yang berlengan panjang sampai pergelangan tangan dan berkolar.

Ukuran panjangnya pula sampai ke tengah betis.

Ia sebagaimana disebutkan di dalam hadis, daripada Ummu Salamah RA berkata: "Antara pakaian yang paling disukai oleh Rasulullah SAW adalah kurta iaitu jenis baju labuh." (Riwayat Abu Dawud)

Kenapa baginda SAW suka memakai kurta? Ia kerana seluruh tubuh baginda dapat ditutupi dengan sempurna sedangkan kain sarung atau baju biasa tidak dapat memenuhi tujuan tersebut.

Apabila seorang lelaki memakai apa sahaja pakaian yang tidak melebihi kedua buku lalinya, ia merupakan sunah yang mulia.

Seperkara lagi, Nabi Muhammad SAW amat menghargai pakaian dan akan memakainya sehingga lusuh serta koyak.

Baginda tidak mempunyai banyak pakaian dan kebanyakan yang dipakai baginda ialah hadiah daripada orang lain.

Daripada Abu Bardah RA daripada bapanya berkata: "Aisyah RA telah menunjukkan kepada kami sehelai kain sarung yang telah lusuh sambil berkata bahawa Rasulullah SAW ketika wafatnya memakai pakaian ini." (Riwayat al-Bukhari)

Sebagai umatnya, sebaiknya kita hargai pakaian yang kita ada dan jangan terlalu ghairah dalam menambah koleksi persalinan baharu.

(Sumber: Noorshahira Ghazali)