Muliakan, raikanlah tetamu yang datang bertandang ke rumah

Apabila rumah kita dikunjungi tetamu, senyumlah dan layanlah mereka sehabis baik agar mereka berasa kehadiran dialu-alukan. -GAMBAR HIASAN.
A
A

SEPANJANG Hari Raya Aidilfitri ini, sudah pasti rumah kita akan dikunjungi tetamu yang datang berziarah.

Apakah sikap kita tatkala menerima kunjungan tetamu? Adakah kita mengalu-alukan kedatangan mereka atau berasa kurang senang dengan kehadiran mereka?

Kepada mereka yang rasa kurang selesa, buanglah perasaan itu jauh-jauh kerana tetamu yang datang bertandang itu sebenarnya membawa rezeki.

Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa tetamu dikatakan membawa rezeki jika kedatangan mereka ketika kita dalam kesempitan?

Bagaimana mahu melayan mereka dengan sebaiknya sedangkan untuk makan memenuhi perut sendiri pun belum tentu dapat.

Dalam perkara itu, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila tetamu masuk ke rumah, maka dia masuk dengan rezekinya dan jika keluar, dia membawa pengampunan dosa orang-orang rumah itu. (Riwayat ad-Dailami)

Maka, janganlah kita fikir kedatangan tetamu ke rumah hanya untuk menghabiskan makanan di rumah kita pula.

Percayalah setiap aturan ALLAH SWT itu adalah yang terbaik.

Usahlah kita gelisah dengan rezeki yang bakal kita berikan kepada tetamu yang datang kerana ALLAH SWT tidak akan menyusahkan malah, akan membantu kita dalam keadaan tidak disangka-sangka.

Apabila rumah kita dikunjungi tetamu, senyumlah dan layanlah mereka sehabis baik agar mereka berasa kehadiran dialu-alukan.

Simpan segala masalah yang kita hadapi dan bersedia dengan rezeki yang sedang ALLAH SWT atur untuk kita selepas itu.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)