Setiausaha Sulit Timbalan Menteri buat dakwaan terlibat dalam klip video seks

Muhammad Haziq membuat pengakuan menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebook awal pagi tadi.
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Sulit kepada seorang Timbalan Menteri awal pagi tadi membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia merupakan individu dalam sebuah klip video seks bersama seorang lelaki mirip wajah menteri.

Video panas tersebut tersebar sejak semalam.

Muhammad Haziq Aziz, 27, memuat naik video berdurasi 30 saat itu dalam akaun Facebooknya kira-kira jam 2 pagi tadi dan turut menamakan seorang menteri yang juga pemimpin kanan sebuah parti kerajaan terlibat dalam hubungan seks dengannya.

Menurutnya, perlakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, Sabah ketika pilihan raya kecil Parlimen Sandakan.

"Saya Haziq Aziz dengan ini saya membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama [...] dalam video yang telah viral semalam.

"Video tersebut diambil tanpa kebenaran saya pada 11 Mei (semasa) Pilihan Raya Kecil Sandakan di (bilik) [...] di Hotel Four Points," katanya dalam rakaman tersebut.

Sinar Harian tidak dapat menamakan menteri yang disebut oleh lelaki berkenaan dan kini dalam usaha mendapatkan respons daripada pihak berkuasa berhubung kenyataan lelaki itu.

Dalam pada itu, Muhammad Haziq turut menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)untuk menyiasat pemimpin kerajaan berkenaan.

“Dia bukanlah individu yang layak menjadi seorang pemimpin.

"Saya menggesa SPRM untuk menyiasat [...] atas tuduhan korupsi," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya wartawan berhubung kes itu berkata, beliau belum melihat klip video berkenaan.

“Saya tak tahu apa pun, saya baru dengar, saya kena baca dulu.

Kalau awak (wartawan) boleh bagi briefing, boleh juga,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya tak tahu apa-apa, kata Dr Mahathir