'Iyakan aje' itu yang terbaik

A
A
A

HARI raya hari untuk meraikan kejayaan mengawal mental, menjaga fizikal dan memakmurkan spiritual. Alhamdulilah kepada kita yang telah berjaya menamatkan Ramadan. Semoga Ramadan yang baru berlalu ini adalah Ramadan yang mencatat rekod ibadah puasa yang terbaik.

Dari sudut adat pula, kita mengamalkan budaya kunjung mengunjung. Kita bergerak dari utara ke selatan, dari timur ke barat. Dari rumah ke rumah kita menziarah, mengeratkan silaturrahim yang telah lemau, supaya persahabatan dan persaudaraan menjadi segar dan mengharum kembali.

Cuma adatlah, sambil menjamah apa yang terhidang, kita bertanya khabar kisah-kisah saudara mara jauh dan dekat. Kita juga bertukar cerita sahabat handai yang telah lama menghilang. Kita semasakan maklumat mengenai mereka yang masih hidup ataupun telah pergi.

Tapi tentu sudah terbiasa buat kita bila bertanya khabar... dalam bercerita itu akan terdapat juga topik mahupun komen yang sensitif. Ada kisah saudara yang berpisah hidup, perihal jiran yang berduka kerana tertipu bila dia menjual tanah mahupun fasal anak Wak Dollah di hujung kampung yang dah lima tahun tak balik-balik.

Itu belum lagi termasuk hal-hal yang lebih besar mengenai hukum hakam dalam agama. Ataupun yang menyentuh mengenai kos sara hidup, tol, jalan sesak, pengangguran, PTPTN dan melarat pada hal-hal politik yang mana ada waktunya kita diminta berikan komentar. Ada juga situasi apabila kita menjadi tukang dengar komen daripada saudara-mara.

Dalam berbual, pasti akan terjadi keadaan di mana cerita yang disampaikan itu tidak betul. Ataupun sekiranya cerita itu benar, kita tak mahu ia dipanjangkan. Ada juga ketika bila mana kita tahu sangat apa yang terjadi, tetapi tidak mahu memanjangkan hal kerana ia boleh membuka aib mereka yang menjadi bahan cerita.

Tidak moleklah sekiranya dalam bertukar-tukar cerita itu, kita terlebih cakap hingga kita menjadi 'pembawang' pula. Maklumlah, jika kita tahu hujung pangkal kisah yang terjadi, tentu mulut kita gatal hendak bercakap. Tetapi, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Bagaimana untuk menjaga mulut agar tidak terlepas cakap walaupun dalam menyampaikan apa yang betul? Atau menahan perasaan agar tidak mematahkan hujah sesuatu yang tidak betul?

Dalam keadaan begitu, yang penting tentulah asal tujuan kita berkunjung. Apabila ia adalah untuk mengeratkan silaturahim, maka itulah yang patut diutamakan. Apa jua cerita, berita dan gosip hanyalah penghias suasana agar kita berbual. Dalam suasana santai dan tidak formal itu, tidak ada had, peraturan dan topik pilihan yang ditentukan majlis.

Artikel Berkaitan:

Kerana itu, kita kena ingat bahawa, apa jua yang diperkatakan dalam perbualan ketika berkunjung itu sebenarnya cakap situ dan habis di situ sahaja. Walau betapa hangat dan berapinya perbincangan yang berlaku, apabila kita mengundur diri, mereka yang tinggal pasti sudah beralih ke topik lain.

Oleh itu, amatlah baik sekiranya kita ‘mengiyakan sahaja’ apa yang dibincangkan. Lebih cantik kita angguk-angguk sahaja walaupun kita tidak setuju dengan apa yang diperkatakan. Lebih molek kita tersengih-sengih jika pun apa yang dihujahkan itu tidak betul pada pandangan kita.

Bayangkan, jika yang bercakap itu adalah pak long atau Abang Mamat yang kita tahu akan bercakap main balun sahaja, biarlah dia melepaskan perasaannya. Sekurang-kurangnya dia tidaklah berasa galak untuk meneruskan cerita. Mudah-mudahan sikap diam dan angguk-angguk kita itu akan mengendurkan suasana yang hangat.

Kita bukan sahaja hendak menjaga air muka mereka yang bercerita. Kita hendak menjaga persaudaraan yang boleh keruh hanya kerana berlainan pendapat dalam hal-hal politik, umpamanya.

Apabila kita sanggah pandangannya, mungkin lain pula penerimaannya. Tak berbaloi jika kita berkata benar, meskipun ia benar. Biarlah kita diam dalam tidak setuju daripada kita mencelah untuk menyatakan pendirian yang tak mungkin boleh mengubah masa depan negara.

Dalam diam, kita perlu merebut peluang untuk menukar topik perbualan apabila mak long bertanya khabar. Bukalah cerita mengenai samperit atau kuih bahulu yang mak long hidangkan. Kemudian secara beransur-ansur topik dodol dan lemang boleh menyusul.

Sebenarnya cerita mengenai mereka yang kita kunjungi itu lebih menguja. Kisah-kisah mereka inilah yang mereka hendak sampaikan. Tanyalah dan mereka akan ceritakan dengan panjang lebar lagi bangga. Tak lama lgi, kita akan masuk ke fasa rumah terbuka pula. Sikap ‘mengiyakan sahaja’ boleh diteruskan demi keharmonian suasana hari raya.Lebih cantik kita angguk-angguk sahaja walaupun kita tidak setuju dengan apa yang diperkatakan."

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian