Mayat orang asli depan mata

Penulis (kiri) ketika bertemu dengan penduduk orang asli Bateq yang diancam penyakit berkaitan pernafasan di Kuala Koh, Gua Musang baru-baru ini.
Penulis (kiri) ketika bertemu dengan penduduk orang asli Bateq yang diancam penyakit berkaitan pernafasan di Kuala Koh, Gua Musang baru-baru ini.
A
A
A

LEBIH tiga tahun berada di Gua Musang sebagai wartawan skuad daerah, pelbagai rencah, kisah dan pengalaman telah saya kutip hingga ke saat ini.

Antara isu-isu yang sering mendapat perhatian di daerah ini adalah kehidupan masyarakat orang asli yang jauh ketinggalan daripada arus kemodenan.

Beberapa tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, isu sekatan orang asli sering mendapat liputan akhbar apabila orang asli membuat sekatan bagi menghalang kerja-kerja pembalakan di kawasan perkampungan mereka.Namun, situasi ‘blockade’ jauh berbeza dengan isu kematian misteri yang melibatkan 13 penduduk orang asli Kampung Kuala Koh sejak awal bulan lalu.

Kejadian kematian misteri di Kuala Koh merupakan isu paling besar yang pernah saya laporkan sepanjang berada di daerah ini.

Di saat rakan-rakan memperagakan fesyen batik, peplum dan kebaya pada hari raya, baju raya saya masih tergantung di dalam almari.

Pada 1 Syawal, saya menerima kiriman WhatsApp daripada rakan saya juga guru agama orang asli Majlis Agama Islam Kelantan, Mohd Fadzli Mamok, mengenai kematian misteri dalam kalangan orang asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh.

Mayat di lokasi

Jadi, segala perancangan untuk makan ketupat, lemang, undangan ‘bekwoh’ dan rumah terbuka Aidilfitri terpaksa dilupakan.

Artikel Berkaitan:

Bagi mendapatkan kepastian, saya menghubungi Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, namun beliau berpesan supaya tidak menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat kerana beliau tidak mempunyai maklumat mengenai kematian 12 orang asli ketika itu.Saya mengajak beliau ke Kuala Koh untuk mendapatkan kepastian mengenai kematian yang tidak dilaporkan itu dan pada jam 4 petang, kami ke Kampung Kuala Koh yang terletak 120 kilometer dari bandar Gua Musang.

Sama seperti yang dimaklumkan oleh Fadzli, perkampungan itu sudah dikosongkan dan kami menuju ke penempatan baharu mereka yang terletak tiga kilometer dari perkampungan itu.

Penduduk orang asli Bateq meninggalkan perkampungan mereka di Kuala Koh, Gua Musang selepas 13 orang penduduk mati sejak sebulan lalu.
Penduduk orang asli Bateq meninggalkan perkampungan mereka di Kuala Koh, Gua Musang selepas 13 orang penduduk mati sejak sebulan lalu.

Sebaik bertemu dengan Tok Batin Raina Anjang, dia membuka buku catatan yang tertulis senarai nama 12 penduduk orang asli telah meninggal dunia seorang demi seorang sejak awal Mei lalu.Namun, ada kematian tidak dilaporkan kerana orang asli Bateq berpegang kepada adat iaitu apabila berlaku kematian mayat akan dibawa ke hutan dan ditinggalkan di atas pokok.

Dalam 12 kematian itu, hanya dua sahaja yang dikebumi dengan cara Islam.

Saya sempat melihat mangsa ke-12 yang meninggal dunia di dalam khemah selepas jatuh sakit selama dua minggu. Mayat Puja Jong ditutup selimut berwarna biru dan lalat menghurungi badannya.

Takut mati

Mengikut adat suku Bateq, apabila berlaku kematian di satu-satu kawasan, rumah atau khemah penempatan perlu ditinggalkan kosong kerana dipercayai ada gangguan makhluk halus.

Apabila keluarganya mati di khemah, saya lihat ahli keluarga yang lain mula mengemas barang-barang dan berpindah ke penempatan lain.

Salah seorang keluarga mangsa memberitahu, dia takut dan trauma melihat saat-saat akhir kematian ahli keluarga.

Selepas mengadu sakit dada, sesak nafas, si mati muntah darah dan seterusnya meninggal dunia tanpa diketahui punca.

“Aku takut aku juga akan mati begitu,” katanya.

Keadaan di penempatan itu agak kotor dan mereka hanya berteduh di bawah khemah berlantaikan buluh. Terdapat 10 khemah di situ namun, ada yang tidur di atas tanah sahaja.

Kawasan khemah mereka dipenuhi lalat yang menghurung sisa makanan seperti ikan kering. Mereka beritahu, tindakan meninggalkan penempatan itu adalah untuk mengelak daripada menggunakan sumber air yang dikatakan tercemar sehingga menyebabkan ahli keluarga mereka mati.

Antara kanak-kanak orang asli yang terjejas tahap kesihatan.
Antara kanak-kanak orang asli yang terjejas tahap kesihatan.

Saya terlihat ada ikan kering dijemur atas plastik putih yang dihurung lalat. Mereka memberitahu, itu adalah pemberian orang lombong kepada mereka untuk dimakan.

Selain ikan kering, mereka juga makan nasi pemberian pengusaha lombong. Sempat juga melihat mereka makan nasi bersulamkan sambal. Lauk lain tiada sejak sebulan lalu.

Salah seorang daripada mereka, Siti Keladi memberitahu, dia hanya makan nasi kosong. Nasi yang dimasak itu bukan berwarna putih seperti nasi yang kita makan. Ia beras hancur yang tiada kualiti.

“Lalu (selera) ke makan nasi saja cicah sambal?” saya menyoal.

Siti menjawab, “Dah tak tau nak makan apa. Kalau tak makan, mati pulak aku. Aku tak lalu dah nak makan ikan kering hari-hari.”

Tinggal merata

Selama tiga hari berada di perkampungan itu, saya mendapati ada tiga kawasan penempatan suku Bateq di kawasan hutan tersebut.

Sebanyak 57 keluarga merangkumi 223 penduduk tinggal merata-rata di dalam hutan dan sehingga semalam masih tiada yang pulang ke rumah asal.

Penghujung tahun lalu, saya pernah memasuki perkampungan ini apabila tok batin mereka memberitahu orang asli menderita penyakit kulit kronik.

Hingga ke hari ini, penyakit berkenaan masih menular dalam kalangan mereka apabila kulit mereka bersisik, gatal dan tiada penawar.

Air sungai ditadah dan diisi ke dalam botol mineral untuk kegunaan harian.
Air sungai ditadah dan diisi ke dalam botol mineral untuk kegunaan harian.

Biarpun sedikit lelah dalam memberi santapan berita kepada masyarakat, namun saya berpuas hati kerana laporan khas mengenai nasib orang asli Bateq berjaya membuka mata pelbagai pihak bagi menangani kes ini.

Diharapkan agar kematian orang asli di Kuala Koh bukan lagi misteri dan mereka mengetahui secara jelas apa punca sebenar kematian yang sedang menyerang mereka.