SPJ Malaysia bantu urus jenazah OKU

Pengurusan SPJ Malaysia ketika mandikan jenazah di Masjid Jamek ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu.
Pengurusan SPJ Malaysia ketika mandikan jenazah di Masjid Jamek ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu.
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah (SPJ) Malaysia membantu menguruskan jenazah seorang orang kurang upaya (OKU) yang meninggal dunia di Rumah Sinar Harapan Kuala Kubu Bharu, kelmarin.

Pertubuhan itu turut menanggung kos penghantaran jenazah ke kampung halaman Allahyarham di Pontian, Johor melalui sumbangan orang ramai berjumlah RM1,300.

Pengerusi Pertubuhan SPJ Malaysia, Rafie Zainal berkata, dia menerima panggilan seorang individu dari kampung berkenaan pada lewat petang kelmarin yang meminta bantuan menguruskan jenazah tersebut.

"Allahyarhan ialah OKU mental dan fizikal berusia 23 tahun meninggal dunia di rumah jagaan itu kerana penyakit dihidapinya. Mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk disimpan di dalam peti sejuk beku mayat sementara menunggu adiknya datang dari kampung.

"Arwah tinggal di Rumah Sinar Harapan sejak tiga tahun lalu selepas kematian ibu yang sebelum ini membesarkan dia dan adiknya secara sendirian. Adiknya pelajar tahun akhir Kolej MARSAH, Johor Bahru dalam pengajian Pendidikan Islam dan tinggal menumpang di rumah ibu saudara mereka," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

No Image Caption

Rafie berkata, adik Allahyarham dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu oleh seorang penduduk kampung dan waris tidak berkemampuan untuk membiayai kos pengurusan jenazah.

"Saya maklumkan kepada mereka yang waris tidak perlu membayar apa-apa kos kerana semua akan ditanggung oleh SPJ Malaysia. Terima kasih kepada jawatankuasa Masjid Jamek ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu kerana mengizinkan kami untuk menggunakan tempat pengurusan jenazah di masjid.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, tak sampai 20 minit kami uar-uarkan kutipan sumbangan untuk kes arwah OKU ini, kutipan mencecah RM1,500," katanya.

Rafie berkata, penghantaran jenazah tiba di kampung berkenaan jam 3 petang semalam dan jenazah disolatkan sekali lagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Parit Ismail, Simpang Renggam, Johor.

"Lebihan sumbangan orang ramai turut diberikan kepada waris. Untuk terus menyumbang bagi membantu kelancaran kerja fardu kifayah ini, boleh salurkan ke akaun rasmi Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah melalui akaun CIMB bernombor 8603-48-9285 atau BSN 1410-0410-0030-6186," katanya.