Kedah B19 sasar baiki kedudukan

Khamal Idris (duduk dari tengah) selepas program santai bersama pegawai dan pemain pasukan Piala Belia Kedah 2019 di Taman Siswa, Jitra semalam.
Khamal Idris (duduk dari tengah) selepas program santai bersama pegawai dan pemain pasukan Piala Belia Kedah 2019 di Taman Siswa, Jitra semalam.
A
A
A

JITRA - Kemenangan kelima diburu Kedah Bawah 19 tahun (B19) apabila bertandang ke Stadium UIA Indera Mahkota, Kuantan bagi menghadapi Pahang B19 tahun bagi aksi ke-11 Piala Belia 2019 pada 16 Jun ini.

Hanya tiga mata sahaja mampu membantu pelapis Lang Merah untuk memberi tekanan kepada kelompok atasan Kumpulan B bagi merapatkan jurang mata berikutan Kedah kini menghuni di tangga keenam selepas 10 perlawanan dengan mengutip 15 mata.

Ketua Jurulatih Kedah Bawah 19 Tahun, Maizal Hairi Marzuki berkata, pasukannya masih berpeluang untuk mengisi kelompok empat pasukan terbaik kumpulan B sebelum saingan kumpulan menutup tirai berdasarkan jurang mata yang kecil.

"Pasukan di tangga ketiga hingga lima iaitu JDT IV, Selangor dan AMD Bawah 16 masing-masing berkongsi 17 mata sama iaitu lebih dua mata berbanding Kedah selepas beraksi 10 perlawanan.

"Pada pusingan kedua ini kami akan cuba untuk loloskan diri ke kelompok empat terbaik dan berharap pertemuan seterusnya menghadapi Pahang pada Ahad depan di laman lawan akan memperoleh keputusan positif dengan meraih tiga mata penuh," katanya.

Beliau berkata selepas Jamuan Raya bersama Pasukan Piala Belia Kedah dan Futsal lelaki Kedah yang turut dihadiri Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Khamal Idris Ali di Taman Siswa di sini.

Terengganu IV kini cemerlang memimpin Kumpulan B dengan mengutip 31 mata diikuti Perak B19 di tangga kedua dengan 22 mata.

Maizal Hairi berkata, dua perlawanan persahabatan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 5 Jun lalu apabila berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Glory United FC 2-1 dan membenam India Kedah 2-0.

Artikel Berkaitan:

"Perlawanan persahabatan ini penting bagi mengembalikan semula stamina semua pemain selepas Liga Piala Belia 2019 berehat selama sebulan sepanjang Ramadan pada bulan lalu.

"Keputusan positif yang diraih ini diharap mampu meningkatkan motivasi semua pemain pada aksi sebenar kerana kami tidak mahu lagi tercicir mata selepas kali terakhir tewas kepada Pulau Pinang B19 2-1 di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1 Mei lalu sebelum liga berehat," katanya.