Padah halang lalu lintas

Kenderaaan yang menghalang laluan di SS15 ditunda trak MPSJ dalam operasi itu.
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Subang Jaya melaksanakan operasi bersepadu di kawasan SS15 bagi mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang menghalang laluan di kawasan itu.

Timbalan Pengarah Korporat, Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, operasi itu dilaksanakan susulan aduan kesesakan diterima sebelum ini disebabkan sikap segelintir pengguna yang sering meletak kenderaan secara bertindan serta menghalang laluan.

"Menerusi operasi terbabit juga, sebanyak 122 saman POL 170A dikeluarkan kepada pesalah trafik atas pelbagai kesalahan. Malah MPSJ juga mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Perintah Pengangkutan Jalan (PeruntukanTempat Letak Kereta) Majlis Perbandaran Subang Jaya Pindaan 2011.

"Sebanyak 12 Notis Tawaran Kompaun dikeluarkan, 10 tindakan kapit kenderaan (clamping) serta dua kenderaan ditunda ekoran melakukan kesalahan lalu lintas," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tindakan kapit tayar turut dikenakan ke atas pesalah lalu lintas dalam operasi itu.
Tindakan kapit tayar turut dikenakan ke atas pesalah lalu lintas dalam operasi itu.

Menurutnya, seramai 16 anggota penguatkuasa MPSJ, dua Pegawai Trafik dan 12 anggota polis menyertai operasi bersepadu itu yang bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

"MPSJ menyeru pemilik kenderaan untuk lebih mematuhi peraturan lalu lintas yang sudah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan dikenakan," katanya.