Belum ada bekas pemimpin Umno mohon sertai PKR

Saifuddin (kanan) ketika menyerahkan foodtruck kepada penjaja di KPDNHEP, hari ini.
Saifuddin (kanan) ketika menyerahkan foodtruck kepada penjaja di KPDNHEP, hari ini.
A
A
A
PUTRAJAYA – PKR mengesahkan buat masa ini belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada bekas Ahli Parlimen Umno yang keluar parti untuk menyertai parti reformasi itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun mengakui, wujud komunikasi antara PKR dan Ahli Parlimen Umno yang lompat parti berkenaan.

“Untuk waktu ini saya boleh sahkan PKR belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Ahli Parlimen Umno untuk sertai parti ini.

“Saya akui memang wujud komunikasi antara mereka dan kami. Tetapi berkaitan sama ada ya atau tidak wujud permohonan rasmi menyertai PKR, saya boleh katakan di sini belum ada setakat ini,”katanya ketika sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian sijil Food Truck Malaysia (FTM) dan penyerahan kenderaan dalam program transformasi peniaga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini, hari ini.

Saifuddin bagaimanapun, menyatakan PH telah menetapkan tiga syarat untuk mana-mana ahli atau pemimpin yang keluar Umno dan mahu menyertai PH sebagai prosedur tapisan.

“Syarat pertama isytihar keluar parti, kedua ada tempoh ‘idah’ dan ketiga, kalau mereka mohon masuk mana-mana parti, masing-masing parti dan PH akan tengok berdasarkan kes mereka yang memohon.

“Hal ini kerana kita sedar penolakan rakyat terhadap Umno-BN akibat daripada kemarahan. Oleh itu, kita tidak mahu kemarahan rakyat berpindah kepada PH .Sebab itu Majlis Presiden PH ada tiga tapisan,” jelasnya.

Sementara itu, Saifuddin berbeza pendapat dengan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang meminta PKR untuk tidak menerima sebarang penyertaan daripada ahli atau pemimpin Umno yang kini melompat parti secara agresif.

Beliau sebaliknya menyifatkan apa yang disuarakan oleh Rafizi sebagai kelebihan dan keunikan yang ada dalam PH dalam menyatakan pendapat.
Artikel Berkaitan:


"Itu kelebihan dan uniknya PH kepimpinan semua peringkat boleh berbeza pendapat, cuma kita tak ‘impose’ pandangan kita.

"Sekalipun saya baik dengan Rafizi, tidak semestinya semua saya bersetuju dengan pandangan beliau dalam konteks ini," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kulim -Bandar Baharu itu, beliau melihat isu itu dari sudut pandangan sendiri dan beliau dan Rafizi masih kekal bersahabat.

Mengulas lanjut senario penyertaan ahli Umno dalam PH khususnya Bersatu, beliau berkata, penolakan Umno- BN oleh rakyat adalah akibat daripada kemarahan.

"Umpama kemarahan rakyat berpindah kepada PH hanya kerana kita dengan selamba sewenang-wenangnya membuat keputusan tanpa tapisan itu maka kita tanggung beban namanya.

“Janganlah sampai menyebabkan PH pula goyang, syak wasangka sama lain ini tak kena.Lawan itu dah berkecamuk tiba-tiba PH jadi goyang, tak boleh lah,” katanya.