Terengganu bangun Taman Inovatif Wakaf Tapai

Tengku Hassan (tengah) beramah mesra bersama tetamu yang hadir sempena Majlis Jamuan Hari Raya DUN Ladang di Stadium Negeri.
Tengku Hassan (tengah) beramah mesra bersama tetamu yang hadir sempena Majlis Jamuan Hari Raya DUN Ladang di Stadium Negeri.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan membangunkan sebuah kawasan seluas 40.4 hektar di Wakaf Tapai, Marang bagi mendirikan 10 buah kilang untuk memproses produk berasaskan kayu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, lokasi perindustrian yang diberi nama Taman Inovatif Wakaf Tapai itu bakal menarik 10 pelabur asing untuk melabur di situ.

“Kita sedang berunding bersama gabungan Dewan Perniagaan Melayu, Cina dan India untuk mewujudkan 10 lot baharu kawasan perindustrian di atas tanah di Wakaf Tapai untuk menempatkan industri berasaskan kayu.

“Pelabur dah beri komitmen untuk datang dan sekarang kita bekerjasama untuk menyiapkan kawasan itu. Jadi, apabila pelabur datang dan melabur, kerajaan juga akan mendapat manfaat bersama,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Jamuan Hari Raya DUN Ladang di Stadium Negeri.

Beliau berkata, kawasan perindustrian baharu hasil usaha sama bersama pelabur dari Taiwan itu dijangka akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang akan memenuhi permintaan rakyat negeri ini.

“Kita jangka paling lewat awal tahun depan akan berdiri 10 buah kilang di situ. Gabungan dewan perniagaan akan menyiapkan kawasan dengan kos ditanggung oleh mereka, manakala pelabur hanya datang untuk melabur dan mendapat manfaat bersama.

“Kita juga menjangka ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang secara tidak langsung membantu kita dalam mencapai 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh satu penggal pemerintahan Pas sebagaimana manifesto kita dalam PRU14 lalu,” katanya.

Ditanya lanjut mengenai operasi kilang itu, katanya, kilang berkenaan akan mengeluarkan produk berasaskan bahan utama iaitu kayu.

Artikel Berkaitan:

“Bahan asas ialah kayu. Mereka keluarkan pelbagai produk daripada kayu seperti dijadikan ‘woodchip’ dan pelbagai lagi nama berasaskan teknologi semasa dan terkini.

“Mereka (pelabur) dah sedia untuk datang, cuma tempat (kilang) belum lagi bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri turut menerima pertanyaan dan cadangan daripada pelabur asing mengenai industri bioteknologi di Taman Biopolymer di Kertih, Kemaman selain hasrat mewujudkan kilang pengeluaran gula daripada kayu bagi tujuan perubatan.