Ahli Lembaga Pengarah YWP tak terima gaji, tiada pegangan saham

Khalid (tiga dari kiri) menjawab soalan pemberita ketika sidang media yang berlangsung di Wisma YWP.
Khalid (tiga dari kiri) menjawab soalan pemberita ketika sidang media yang berlangsung di Wisma YWP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tidak menerima sebarang gaji dan pegangan saham di dalam institusi itu.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, segala keuntungan yang diperolehi melalui urusan perniagaan YWP tidak memberikan sebarang pulangan kepada ahli lembaga pemegang amanah yayasan tersebut.

Beliau berkata, YWP harus mencari sumber dana melalui pelbagai cara termasuk perniagaan atau pelaburan namun langkah itu bukannya bagi kepentingan peribadi ahli lembaga pemegang amanah.

"Menurut Artikel 5 menyatakan tiada bahagian dari pendapatan atau harta YWP yang harus dibayar atau dipindahkan kepada ahli (yang merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP) dari segi dividen, bonus mahu pun keuntungan," katanya pada sidang media di Wisma YWP.

Sebelum ini, terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertikai lantikan politik di YWP.

Difahamkan, NGO tersebut mendesak supaya jawatan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP diisi oleh individu yang aktif dalam kemasyarakatan dan bukannya terdiri daripada orang politik.

Mengulas mengenai pelantikan beliau sebagai Pengerusi YWP, Khalid berkata, berdasarkan Artikel 22 Memorandum & Articles of Assiciation (M&A) YWP telah menyatakan bahawa jawatan itu sewajarnya diisi oleh Menteri Wilayah.

"Berdasarkan artikel ini, Menteri Wilayah secara langsung mempunyai tanggungjawab sebagai Pengerusi YWP dan lantikan ini juga tidak memerlukan mandat kerajaan persekutuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Khalid berkata, tiada sebarang kepentingan peribadi dalam YWP berikutan ahli lembaga pemegang amanah tidak boleh menerima sebarang keuntungan peribadi dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Tambah Khalid, pihaknya tidak menolak dakwaan YWP pernah diseleweng satu ketika dahulu namun selepas pertukaran kerajaan yayasan itu telah ditadbir dengan pendekatan lebih baik.

"YWP kini di bawah kepimpinan baharu yang lebih telus bagi membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat di bandar," katanya.