Hannah minta henti debat isu Taman Rimba Kiara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh meminta semua pihak menamatkan isu kontroversi Taman Rimba Kiara dan menunggu kata putus Kabinet.

Menerusi laman sosial Facebook beliau meluahkan rasa terkilan dengan segelintir pihak yang seolah terus 'membela' pemaju Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Beliau turut mempersoalkan keperluan mengeluarkan kenyataan dengan niat memujuk orang awam meneruskan projek dengan penyelesaian cadangan pengecilan skalanya.

"Saya dah terangkan secara jelas berkenaan Taman Rimba Kiara semasa sesi taklimat dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad juga memaklumkan status pembangunan itu akan dibawa ke Kabinet.

"Namun, hampir setiap minggu akan ada video atau kenyataan baharu dikeluarkan untuk pengaruhi orang awam bahawa versi pengecilan skala adalah langkah terbaik untuk warga Kuala Lumpur," katanya di Facebook rasminya.

Jelasnya, hal tersebut menyebabkan isu tersebut terus menjadi perdebatan dan tidak berkesudahan.

"Apa keperluan pegawai khas dan laporan khas mempertahankan YWP yang pengerusinya adalah Menteri Wilayah Persekutuan? Saya tertanya-tanya adakah pemaju lain menerima layanan sama dalam justifikasi pembangunan yang dijalankan?" soalnya.

Tambahnya lagi, pihak terlibat turut menyerang Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail selepas dirinya yang secara terbuka tidak bersetuju dengan cadangan cadangan pengecilan skala projek yang tidak menyelesaikan masalah.

Artikel Berkaitan:

"Selepas percubaan menuduh saya mempertahankan golongan elit menindas penduduk rumah panjang gagal, mereka menyerang Persatuan Penduduk TTDI.

"Jangan ganggu (Persatuan Penduduk TTDI) kerana mereka tidak dapat untung apa-apa dengan mempertahankan pemeliharaan Taman Rimba Kiara," katanya.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi sejak 2017 dan mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan itu.

Khalid mengumumkan pengecilan projek itu yang disifatkan sebagai keputusan 'menang-menang' kepada semua pihak terlibat, tetapi turut dibantah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan beberapa pihak lain.