SRC terima RM20 juta daripada kerajaan

A
A

SRC terima RM20 juta daripada kerajaan

Syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC International) menerima geran permulaan sebanyak RM20 juta daripada kerajaan.

Perkara itu didedahkan bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail, dalam keterangannya pada perbicaraan kes SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff, pada sesi pemeriksaan utama, Ismee berkata, SRC turut menerima pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Ismee yang juga saksi pendakwaan ke-39 berkata, semua sumber kewangan itu digunakan untuk pelaburan dan modal kerja bagi syarikat SRC.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Kerajaan pertimbang gaji polis dinaikkan

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mempertimbangkan permintaan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador agar gaji anggota polis berpangkat rendah dinaikkan.

Menurut Perdana Menteri, beliau akan memikirkan mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian kepada media yang diminta mengulas berhubung permohonan Abdul Hamid agar gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

Menurut Abdul Hamid, gaji yang diperoleh golongan berkenaan iaitu daripada sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka bertugas di bandar-bandar besar.

Jawatan Naib Presiden Pas pertembungan 4 penjuru

Pertembungan empat penjuru dijangka berlaku bagi merebut jawatan naib presiden PAS apabila Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut dicalonkan bagi menduduki kerusi berkenaan.

Selain Ahmad Samsuri, tiga penyandang jawatan Naib Presiden, Idris Ahmad, Datuk Iskandar Samad dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut dicalonkan bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Dr Mohd Fuad Mohd Salleh, berkata 37 calon layak bertanding untuk mengisi 18 jawatan ahli jawatankuasa pusat.

Pada 9 Jun lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man diumum berjaya mengekalkan jawatan masing-masing selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan muktamar PAS ke-65.

Bagi jawatan dalam Dewan Ulama PAS (DUPP) pula, semuanya telah dimenangi tanpa bertanding, begitu juga jawatan tertinggi dalam Muslimat PAS dan Pemuda PAS juga turut dimenangi tanpa bertanding.

Bukit Aman ambil alih kes lelaki berkopiah sembah berhala

Pasukan siasatan dari Bukit Aman akan mengambil alih kes seorang lelaki bukan beragama Islam yang berpakaian seperti ‘lebai’ dan menyembah berhala ‘Datuk Kong’ seperti dalam rakaman video yang tular baru-baru ini.

Difahamkan, suspek berusia 43 tahun yang ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, kira-kira jam 5 petang semalam tidak direman dan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata siasatan terhadap suspek akan dijalankan pasukan siasatan Bukit Aman.

Semalam dilaporkan seorang lelaki bukan beragama Islam itu ditahan selepas klip videonya berpakaian seperti seorang Muslim dan menyembah berhala tular di media sosial.

Dr. Maza puji pendirian Tun M pertahan Zakir Naik

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia tidak membenarkan ekstradisi ke atas penceramah antarabangsa dari India, Dr. Zakir Naik.

Katanya, pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu amat dihormati dan membuktikan sikap beliau tidak tunduk kepada kehendak kezaliman dan penindasan di India.

Sehubungan itu katanya, umat Islam dan rakyat yang setia hendaklah berada di belakang Tun Dr. Mahathir dalam isu ini.

Bagaimanapun katanya, apa yang menghairankan, ada sejumlah mereka yang sudah mendapat kerakyatan atau menjadi rakyat negara ini, tapi tumpah setia mereka pada negara asal mereka, katanya dalam hantaran di Facebooknya beliau hari ini.

Semalam, Tun Dr. Mahathir mengulangi keengganan Malaysia membenarkan ekstradisi penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia