Ternak lebah kelulut sumber pendapatan penduduk Sonsogon Magadai

Foto Bernama
A
A

KOTA MARUDU - Menternak lebah kelulut yang bermula secara suka-suka, kini menjadi sumber pendapatan bagi Jabal Singkamung, penduduk di Kampung Sonsogon Magandai dekat sini.

Dia yang tinggal di kampung yang terletak 58 kilometer dari Kota Marudu itu meraih pendapatan antara RM800 dan RM1,500 sebulan hasil jualan madu kelulut yang sungguh bermakna bagi Jabal, 50, untuk menyara keluarganya.

Menurut Jabal, dia mula menternak lebah kelulut tiga tahun lepas selepas mendapati banyak sarang lebah kelulut di kawasan hutan di sekitar kampung itu.

Katanya menerusi pengetahuan yang diperoleh menerusi kursus yang dianjurkan oleh Koperasi Pembangunan Desa (KPD), dia bersama beberapa rakan sekampungnya memulakan ternakan lebah kelulut secara suka-suka di kawasan rumah mereka.

“Saya menternak 10 sarang madu kelulut dan madu yang dihasilkan dipasarkan kepada pemborong di pekan Kota Marudu dengan harga RM40 hingga RM60 sebotol.

“Pada masa sama, sarang lebah kelulut yang diambil di hutan juga dijual dengan harga RM70 hingga RM200 (sebotol),” katanya kepada Bernama di sini.

Jabal yang juga Ketua Kampung Sonsogon Magandai berkata terdapat 25 keluarga di kampung itu yang merupakan etnik Dusun Sonsogon mengusahakan projek ternakan lebah kelulut.

Katanya dalam masa terdekat lebih ramai penduduk di kampung itu akan menyertai projek berkenaan kerana ia mudah diternak dan sarang lebah kelulut mudah diperoleh dari hutan di sekitar kampung tersebut.

Seorang lagi penduduk kampung itu, Solboy Majudin, 48, turut mengikuti projek menternak lebah kelulut yang kini menjadi sumber pendapatan utamanya.

Katanya dia juga menjadikan kawasan sekitar rumahnya sebagai tempat menternak lebah kelulut.

Menurutnya cabaran dalam ternakan itu adalah mencari sarang lebah kelulut di kawasan hutan dengan terdedah kepada bahaya binatang berbisa seperti ular, tebuan dan lebah hutan.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian menerusi KPD telah membuka Pusat Lebah Madu Borneo di Sikuati Kudat, daerah berjiran dengan Kota Marudu.

Di pusat ini, Sistem Perladangan Kontrak dipraktikkan dengan petani di kawasan Kota Marudu sejak 1991.

Berikutan potensi dan kejayaan pelaksanaan projek berkenaan berjaya menjana pendapatan peserta, ia diperluaskan ke daerah Pitas dan daerah kecil Matunggong.

Pusat Lebah Madu Borneo menjadi pusat mengumpul, memproses dan membotol madu lebah serta melaksanakan kursus ternakan lebah. - Bernama