Cara menegur aurat saudara-mara ketika beraya di kampung

Jagalah batas aurat dengan ipar-duai, biras dan sepupu ketika raya di kampung. -GAMBAR HIASAN.
Jagalah batas aurat dengan ipar-duai, biras dan sepupu ketika raya di kampung. -GAMBAR HIASAN.
A
A
A

SETIAP kali Hari Raya Aidilfitri, warga kota akan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Jika bukan kampung sekalipun, pasti kita akan berkumpul di rumah orang tua atau saudara-mara.

Pada masa inilah semua adik-beradik, ipar-duai, biras dan sepupu berkumpul untuk sama-sama meraikan lebaran.

Walaupun dalam satu keluarga, batas-batas aurat masih perlu dijaga terutama jika ada ipar-duai, biras dan sepupu duduk dalam satu bumbung yang sama.

Kadangkala ada yang terkhilaf dalam hal itu.

Bagaimana kaedah yang kita boleh gunakan untuk menegur dan menasihati ahli keluarga kita untuk menjaga aurat dan pada masa sama turut menjaga hati golongan yang lebih berusia daripada kita?

Sebelum menjawab persoalan itu, Islam sebenarnya sudah menggariskan batas aurat bagi lelaki dan perempuan.

Setiap umat Islam wajib menjaga aurat dan kehormatan di mana sahaja dia berada.

Artikel Berkaitan:

Aurat ialah suatu anggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain.

Firman ALLAH SWT: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah al-Nur, ayat 31)

Berdasarkan ayat al-Quran itu, para ulama menetapkan hukum wajib untuk menutup aurat bagi lelaki dan perempuan.

Justeru, aurat wajib dijaga daripada dilihat dan dipandang oleh orang lain dalam apa jua keadaan.

Selain itu, kita juga perlu menjaga pandangan daripada melihat aurat orang lain.

Apabila kita pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya, tidak dinafikan memang kadangkala ada yang culas dalam hal batasan aurat.

Jadi, ia hendaklah dicegah dengan hikmah dan mengikut kemampuan yang ada.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)

Antara kaedah yang difikirkan sesuai untuk menegur:

1. Menyampaikan pesanan kepada ahli keluarga yang paling berpengaruh seperti bapa atau anak sulung dalam keluarga agar menasihati dan mengambil cakna tentang hal itu.

2. Mengasingkan tempat dan membuat penghadang antara lelaki dan perempuan dalam kalangan sepupu, ipar-duai dan biras bagi menjaga aurat masing-masing khususnya ketika menukar pakaian, tidur dan sebagainya.

3. Menghantar tazkirah berkaitan aurat yang perlu dijaga di dalam group WhatsApp keluarga dan saudara-mara.

4. Membuka topik berbualan sesama sanak saudara berkaita aurat dan menimbulkan kesedaran kepada mereka untuk menjaganya.

5. Menghadiahkan kepada saudara-mara yang tidak menutup aurat dengan pakaian yang berjenama agar dia terdorong untuk memakainya.

Semoga ALLAH terus memberikan taufik dan hidayah kepada kita serta keluarga untuk terus beramal soleh dan taat kepada perintah-Nya.

(Sumber: Al-Kafi #1218: Kaedah Menegur Aurat Saudara-Mara Ketika Beraya di Kampung, Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan)