MPSJ naikkan caj sita kenderaan

A
A

SUBANG - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil langkah menaikkan caj sita bagi kenderaan yang didapati melakukan pembuangan sampah secara haram di seluruh kawasan pentadbiran mereka bermula 1 Disember lalu.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan pada 12 November lalu meluluskan kenaikan caj berkenaan di mana setiap kenderaan yang disita atas tujuan tersebut boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000.

Menurut Noraini, pihak berkenaan juga akan dikenakan kos perkhidmatan sebanyak RM300 dan kos simpanan kenderaan sebanyak RM100 sehari.

"Langkah ini diambil bagi membolehkan MPSJ mengenakan tindakan kepada pesalah mengikut Undang-Undang Kecil 21 (UUK 21), Undang-Undang Kecil Pembuangan, Pengutipan dan Pelupusan Sampah Sarap (MPSJ) 2007.

"Kita memulakan pelaksanaan ini pada 1 Disember lalu terhadap setiap kenderaan yang didapati melakukan pembuangan sampah haram di kawasan seliaan MPSJ," katanya selepas Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.12/2018 hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, bagi tahun ini, pihaknya telah menyita 14 buah lori yang dipercayai terlibat dengan kesalahan pembuangan sampah secara haram.

Menerusi pemerhatian yang dilakukan juga mendapat kegiatan pembuangan sampah haram ini seringkali berlaku di lokasi-lokasi yang belum membangun serta bersebelahan dengan laluan utama.

"Untuk tahun ini sahaja, kita perlu menangani masalah pembuangan sampah di kawasan Puchong dan Seri Kembangan terutamanya melibatkan tanah-tanah milik persendirian.

"Malah masalah ini juga turut berlaku di kawasan tanah rizab kerajaan dan kebanyakkan melibatkan lokasi di pinggir kawasan membangun," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia