JPV Terengganu siasat kes lelaki cekik ayam

Rakaman video menunjukkan seorang lelaki mencekik seekor ayam jantan dan kes dipercayai berlaku di Kuala Dungun.
Rakaman video menunjukkan seorang lelaki mencekik seekor ayam jantan dan kes dipercayai berlaku di Kuala Dungun.
A
A
A
DUNGUN - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu akan menjalankan siasatan berhubung video yang tular di laman sosial Facebook yang memaparkan perbuatan seorang lelaki menyeksa seekor ayam jantan dengan mencekik haiwan itu yang dipercayai berlaku di Kuala Dungun.

Rakaman visual berdurasi 13 saat itu yang menunjukkan seorang lelaki berusia lingkungan awal 20-an mencekik leher ayam jantan berkenaan hingga binatang itu mengalami kekejangan tular di media sosial sejak Sabtu lalu.

Lelaki itu pada masa sama turut menggoncang ayam jantan malang tersebut di hadapan beberapa lelaki dipercayai rakan-rakannya.

Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, jika sabit kesalahan pendera haiwan boleh berdepan hukuman denda minimum RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Menurutnya, setakat ini pihaknya sedang mengumpulkan maklumat berhubung kejadian terbabit.

"Kita minta bantuan komuniti setempat untuk salurkan maklumat tentang kejadian ini agar tindakan lanjut dapat diambil.

"Kita memandang serius kes sebegini kerana ia merupakan satu penderaan terhadap haiwan meskipun dengan niat untuk bergurau," katanya ketika dihubungi.

Mohd Termizi memberitahu, perlakuan lelaki dalam video itu jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab kerana dengan sengaja mencekik haiwan tersebut walaupun niatnya mahu bergurau.

Tambah beliau, Akta Kebajikan Haiwan 2015 memperuntukkan hukuman berat terhadap pesalah yang didapati bersalah melakukan sebarang perlakuan kejam yang boleh ditakrifkan penganiayaan terhadap haiwan.

Artikel Berkaitan:

"Penternak dan pembela haiwan juga boleh dikenakan hukuman yang sama sekiranya haiwan ternakan tidak diuruskan dengan sempurna," katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau lagi, penternak haiwan juga perlu mematuhi garis panduan penyembelihan haiwan ternakan di mana haiwan tersebut tidak boleh dipukul atau proses penyembelihan itu juga tidak boleh dipertontonkan kepada umum.

Sementara itu, kes tersebut turut mendapat perhatian daripada Persatuan Haiwan Malaysia yang turut memuat naik video kejadian berkenaan berserta satu kenyataan di laman Facebook rasmi mereka.

Dalam kenyataan terbabit, Persatuan Haiwan Malaysia turut mendesak JPV melakukan siasatan menyeluruh dan mengheret pelaku ke muka pengadilan dan menjatuhkan hukuman tegas agar ia menjadi pengajaran kepada orang lain.