Kerajaan terus perkasa pekebun kecil

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin (dua, kanan) beramah mesra bersama kakitangan Risda sewaktu hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Risda di Pejabat Risda Kelantan malam ini. - FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin (dua, kanan) beramah mesra bersama kakitangan Risda sewaktu hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Risda di Pejabat Risda Kelantan malam ini. - FOTO BERNAMA
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan akan terus memperkasakan golongan pekebun kecil bagi membentuk satu kumpulan ekonomi yang memberi impak yang besar kepada pembangunan negara.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Md Jidin berkata, kerajaan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan terus berusaha untuk menambah pendapatan pekebun kecil melalui projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).

“Risda akan membuat penelitian mengenai potensi perniagaan sampingan yang hendak dilakukan oleh pekebun kecil sebelum diberikan bantuan termasuk peralatan dan juga ternakan supaya mereka dapat menjana pendapatan tambahan bukan hanya bergantung kepada tanaman getah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri RISDA Negeri Kelantan 2019 di Perkarangan Pejabat RISDA Negeri Kelantan malam tadi yang turut dihadiri Pengarah RISDA negeri Mohd Zulkifli Hassan.

Radzi berkata, sebelum ini apabila harga getah jatuh, pekebun kecil tidak mempunyai pendapatan sampingan untuk menampung harga kejatuhan komoditi getah tersebut.

“Kita harap apabila AET ini terus diperkasakan, sekurang-kurangnya golongan ini akan dapat memberi manfaat yang besar demi mengukuhkan ekonomi negara dan dapat membentuk satu ‘buffer’ (penyelesaian) apabila berlakunya kejatuhan harga komoditi getah,” katanya. Katanya, Risda kini melalui AET memfokuskan kepada pemantauan pekebun kecil yang terlibat dan bukan hanya sekadar memberi bantuan kepada mereka.

“Kami tidak mahu hanya sekadar memberi bantuan, dan terhenti di situ sahaja namun apa yang penting kami mahukan pemantauan yang berterusan.

“Jika tiada penilaian semula atau pemantauan, kami khuatir mereka (peneroka kecil) menggunakan kaedah yang tidak menepati cara yang ditetapkan sekali gus akan menjejaskan keluaran atau keuntungan yang optimum,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berkata, menjelang tahun 2020 Risda menyasarkan setiap keluarga pekebun kecil melalui AET ini akan mampu menjana pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan.

Untuk rekod, hingga kini Risda mempunyai seramai 552,543 pekebun kecil getah di seluruh negara, dan dari jumlah tersebut seramai 16,436 adalah usahawan. - Bernama