Pemuda Cina jatuh cinta pada Islam

Tan Kwok Chen melafazkan syahadah di hadapan Azman (dua dari kanan) di pejabat MACMA Bukit Baru, Melaka.
Tan Kwok Chen melafazkan syahadah di hadapan Azman (dua dari kanan) di pejabat MACMA Bukit Baru, Melaka.
A
A
A

MELAKA - Seorang seorang pemuda Cina dari Krubong menjadikan Syawal tahun ini sebagai detik terindah dalam hidupnya apabila dia mengambil keputusan memeluk Islam selepas tiga hari umat Islam di seluruh negara ini meraikan Aidilfitri.

Raymond Tan Kwok Chen, 25, yang bekerja sebagai penyelenggara pendingin hawa di Kuala Lumpur menyempurnakan hasrat tersebut dengan mengucap syahadah di hadapan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Azman Aziz di Pejabat Persatuan Cina Muslim Malaysia Melaka (MACMA) di Bukit Baru pada 7 Jun lalu.

Menurutnya, dia memilih memeluk Islam selepas jatuh cinta kepada agama tersebut ketika menuntut di salah sebuah sekolah menengah di negeri ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Malim.

Katanya, minatnya itu terhadap Islam tidak pernah luntur malah berterusan sehinggalah dia memasuki alam pekerjaan.

"Saya banyak mengikuti Facebook untuk mencari keindahan agama ALLAH dan mencari informasi yang berkaitan Islam sebelum menemui laman sosial MACMA.

Tak sangka pula hasrat memeluk Islam dipermudahkan apabila saya menghantar mesej kepada MACMA melalui Facebook," katanya kepada Sinar Harian.

Raymond Tan berkata, hasrat memeluk Islam yang dipendam sejak sekian lama akhirnya menjadi kenyataan selepas berhubung dengan badan persatuan berkenaan.

"Sebenarnya malam raya lagi saya mahu melafazkan kalimah syahadah kerana tidak mahu berlengah-lengah lagi selain tidak sabar untuk menjadi umat Islam.

Artikel Berkaitan:

"Jujur saya berasa lebih tenang dan akan terus mendalami agama ini selain telah berlatih puasa lebih seminggu pada Ramadan lalu dan ia pasti menjadi kenangan terindah yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila," katanya.

Azman (dua dari kanan) menyampaikan tafsir al-Quran kepada Tan Kwok Chen selepas selesai lafaz syahadah.
Azman (dua dari kanan) menyampaikan tafsir al-Quran kepada Tan Kwok Chen selepas selesai lafaz syahadah.

Raymond berkata, sejak sebelum mengucap syahadah lagi dia sebenarnya telah membiasakan diri dengan menghayati ajaran dan amalan Islam.

"Saya ada juga mengikut rakan beragama Islam bersolat di masjid dan hati saya sentiasa terpikat setiap kali mendengar alunan ayat suci al-Quran lebih-lebih lagi apabila azan berkumandang walaupun ketika itu saya tidak tahu bersolat," katanya.

Menurutnya, cara hidup Islam yang indah dan menyenangkan antara faktor membuatkan dia tertarik untuk bertukar agama dari Buddha kepada Islam dengan rela hati dan tanpa paksaan oleh sesiapa.

"Syukur ibu bapa juga tidak menghalang keputusan saya dan saya berazam untuk menambahkan Ilmu agar saya istiqamah di jalan ini.

"Saya merancang untuk menetap di Melaka bagi mengikuti kelas-kelas pengajian agama dianjurkan oleh MACMA mahupun MAIM," katanya.