Tak selamat bawa motor kapcai jarak jauh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PEMANDU kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini pasti dapat melihat aksi penunggang motosikal yang seperti tidak sayangkan nyawa masing-masing.

Ada yang menyelit terlalu rapat dengan kenderaan lain, berkonvoi dalam keadaan membahayakan, tidak memakai jaket lutsinar, menggunakan laluan kecemasan, tunggangan waktu malam yang mencemaskan dan aksi Superman beramai-ramai.

Menurut Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohd Yusuff Abdul Aziz, sepanjang 11 hari Ops Selamat, 20 kemalangan maut telah berlaku dan 14 daripadanya adalah pengguna motosikal.

Pelbagai kempen keselamatan dan kesedaran telah dijalankan setiap tahun bagi mengurangkan jumlah kehilangan nyawa terutamanya penunggang motosikal namun semuanya seperti peribahasa itik dimandikan takkan basah.

Mereka tetap dengan kedegilan masing-masing menunggang dalam keadaan membahayakan diri dan juga pengguna lain.

Bagi mengelakkan jumlah kematian bertambah pada musim perayaan, adakah wajar sekiranya penunggang motosikal dilarang daripada menggunakan lebuh raya?

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, beliau secara peribadi bersetuju dengan cadangan itu demi keselamatan dan nyawa pengguna motosikal itu sendiri.

Katanya, kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan beberapa pihak sebelum ini dengan jelas menyatakan, motosikal kategori kapcai tidak dinasihatkan untuk penggunaan jarak jauh.

Artikel Berkaitan:

“Penggunaan lebuh raya PLUS dengan menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, menimbulkan risiko kerana jentera itu direka untuk penggunaan jarak dekat.

“Tambahan pula dari segi reka bentuk motor itu sendiri dengan dua roda, jika tersilap sedikit boleh terbabas dan terlibat kemalangan,” katanya.

Penunggang dan pembonceng dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan lain yang kurang risiko kemalangan untuk perjalanan jauh seperti kereta api, bas dan juga mengamalkan konsep car pool bersama kawan-kawan.