Operasi selamat budak terperangkap dalam telaga diteruskan

Polis dan pasukan penyelamat India berada di lokasi di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terjatuh ke dalam sebuah telaga di daerah Sangrur, negeri Punjab.
Polis dan pasukan penyelamat India berada di lokasi di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terjatuh ke dalam sebuah telaga di daerah Sangrur, negeri Punjab.
A
A
A

PUNJAB - Anggota pasukan penyelamat India hari ini bertungkus lumus menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terperangkap di dalam sebuah telaga sejak empat hari lalu.

Fatehvir Singh dilaporkan terjatuh ke dalam sebuah telaga sedalam 33 meter di daerah Sangrur pada Khamis lalu ketika bermain di kawasan padang berhampiran rumahnya.

"Telaga tersebut telah ditutup dengan beg pasir namun mangsa dikatakan terjatuh ke dalam setelah memijak beg pasir tersebut," kata ahli Parlimen tempatan Vijay Inder Singla kepada AFP.

Operasi menyelamat berdepan pelbagai cabaran antaranya diameter telaga berkenaan yang hanya berukuran kira-kira 23 sentimeter dan ia tidak lagi digunakan sejak tahun 1991.

Singla yang masih menaruh harapan kanak-kanak berkenaan akan dapat diselamatkan berkata, ambulans dan segala kelengkapan yang diperlukan dalam menjalankan operasi menyelamat termasuk kren telah dikerah ke lokasi.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat yang cuba mendapatkan mangsa dengan menggali dan memasukkan paip selebar 91 sentimeter sejajar dengan telaga dilaporkan berjaya memasukkan paip oksigen dan kamera ke dalam telaga berkenaan.

Pada tahun 2006 lalu, seorang kanak-kanak berusia enam bernama Prince berjaya dibawa keluar setelah terperangkap di dalam sebuah telaga di negeri Haryana selama 48 jam. - AFP

Artikel Berkaitan: