Gesa labur peruntukan besar

Arie bersama sebahagian ahli Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia.)
Arie bersama sebahagian ahli Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia.)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) menggesa kerajaan untuk melaburkan peruntukan yang lebih besar untuk membina kemudahan khusus bagi kelangsungan semua hidupan liar di negara ini.

Perkara itu selepas mengambil iktibar dengan kejadian yang berlaku di Kahang Timur, Kluang yang menyaksikan tiga ekor gajah liar mati akibat diracun pihak tidak bertanggungjawab, baru-baru ini.

Presidennya, Arie Dwi Andika mencadangkan, antara cadangan paling asas untuk mengawal populasi hidupan liar dan terancam di dalam negara ini adalah dengan membina sempadan bebas kepada hidupan tersebut.

"Kita tak mahu menyalah sesiapa mengenai perkara ini, tetapi apa yang boleh dicadangkan adalah kerajaan keluarkan peruntukan untuk membina jajaran sempadan bagi kawasan hutan dan penempatan masyarakat.

"Mungkin boleh didirikan tembok atau pagar elektrik di beberapa jajaran dikenal pasti aktif berlaku lintasan haiwan liar ini. Dengan cara ini kita boleh mengekalkan hidupan itu berada dalam habitatnya tanpa terdedah dengan bahaya luar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun, perkara itu harus dilakukan dengan mengambil pendekatan menyeluruh iaitu penguatkuasaan hutan yang lebih tegas tanpa memberi kompromi kepada pihak-pihak tertentu.

"Jika kita mahu kekalkan haiwan itu dalam kawasan mereka, kita juga kena pastikan aspek kelangsungan hidup mereka cukup, makanan dan ekosistem di situ stabil. Masalah pembalakan dan pembangunan tidak terancang adalah musuh utama di sini.

"Kita mahu kerajaan ambil tindakan serius dan jangan pilih kasih. Lakukan tangkapan dan hentikan projek-projek haram dan pembalakan yang menyebabkan haiwan ini menjadi mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga menggesa kerajaan membangunkan lebih banyak lagi fasiliti pemuliharaan binatang liar di negara ini dan bukan hanya menumpukan kepada santuari semata-mata.

"Santuari saja tak cukup, apa yang diperlukan sekarang adalah pusat pembiakan binatang-binatang seperti ini. Hidupan terancam memerlukan pemantauan 24 jam, dan kita juga perlu bantu mereka untuk teruskan pembiakan spesiesnya.

"Kita tak mahu apa yang terjadi seperti badak sumbu Sumatera terakhir, Tam yang mati baru-baru ini. Adakah kita perlu tunggu perkara seperti itu berlaku baru buat sesuatu.

"Ramai sebenar tidak sedar bahawa selain badak, negara kita juga diancam kepupusan binatang lain seperti gajah dan harimau," katanya.

Berhubung statistik hidupan liar itu, Arie berkata, sumbernya memberitahu sehingga kini hanya terdapat kurang 1,000 ekor gajah liar yang ada di seluruh negara.

"Ini sangat membimbangkan, bagaimana jumlah ini mahu bertahan sehingga 10 ke 20 tahun lagi. Adakah anak cucu kita sempat untuk melihat haiwan ini. Jadi semuanya perlu bermula sekarang.

"Bila sudah pupus, kita yang kerugian, sebab tiada penawar dan pencegahan untuk haiwan yang sudah pupus," katanya.