Lelaki hendak beraya cedera dibelasah

Abdul Rahim
Abdul Rahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang lelaki hendak beraya pada dua Syawal tidak kesampaian apabila cedera dibelasah individu tidak dikenali hanya disebabkan kereta dipandunya 'tergesel' cermin sisi kereta individu tersebut, dalam kejadian di Kampung Sungai Pinang, di sini Khamis lalu.

Kejadian kira-kira jam 2.30 itu berlaku semasa mangsa, 27, dalam perjalanan beraya ke rumah saudaranya di Kampung Gelugor apabila melalui jalan kampung yang sempit di Kampung Sungai Pinang di sini.

Menurut sumber, semasa tiba di lokasi, kenderaan mangsa jenis Honda Jazz berselisih dengan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu seorang wanita tidak dikenali dari arah hadapan.

"Mangsa cuba mengelak ke bahu jalan untuk memberi laluan tetapi disebabkan jalan terlalu sempit, kereta dari arah hadapan tidak lepas.

"Disebabkan itulah mangsa cuba memandu terus ke hadapan dan tergesel di bahagian cermin sisi sebelah kanan kereta tersebut.

"Menyedari insiden itu, mangsa memberhentikan keretanya untuk meminta maaf dan cuba berbincang tetapi tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali berbaju Melayu ke arahnya sebelum menumbuk pipi mangsa," katanya kepada Sinar Harian.

Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, datang lagi empat lelaki tidak dikenali semuanya berbaju Melayu terus memukul dan menyepak mangsa di seluruh badannya tanpa belas simpati.

"Kemudian, wanita yang juga pemandu kenderaan itu juga menyerang dengan bertindak menampar pipinya sebelum salah seorang daripada mereka mengugut akan membakar kereta mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, mangsa sempat merakam gambar lelaki tersebut dengan telefon bimbitnya sebelum datang ke balai polis membuat laporan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan sakit dan lebam di muka serta seluruh tubuhnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan kejadian di Balai Polis Chabang Tiga di sini.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.