Cadang kerajaan pinda Seksyen 5(1) Akta SPRM 2009

Kor Ming (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan beliau kepada Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia Cawangan Hilir Perak, di sini hari ini.
Kor Ming (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan beliau kepada Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia Cawangan Hilir Perak, di sini hari ini.
A
A
A

TELUK INTAN - Kerajaan dicadangkan meminda Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 pada sesi Parlimen Julai ini bagi menambah baik prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, buat masa ini seksyen berkenaan memperuntukkan kuasa kepada Perdana Menteri untuk melantik mana-mana individu bagi menerajui agensi penguatkuasaan tersebut.

Menurutnya, pelantikan dibuat Perdana Menteri tidak salah mengikut segala kehendak undang-undang cuma yang boleh dipersoalkan ialah proses pelantikan dan kita sarankan supaya proses pelantikan menjadi lebih telus dan selaras dengan manifesto.

"Untuk memastikan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak menjadi isu, saya cadangankan kerajaan mengemukakan pindaan undang-undang khasnya Akta SPRM Seksyen 5," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia Cawangan Hilir Perak kali ke-21 di Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak di sini hari ini.

Menurut Kor Ming, Seksyen 5(1) Akta SPRM 2009 wajar dipinda supaya dapat dimasukkan klausa di mana sebelum pelantikan dibuat ia wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang telah ditubuhkan.

"Pindaan itu perlu memasukkan klausa supaya sebelum pelantikan dibuat wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama.

"Maka pelantikkan pada masa depan tidak akan menjadi sebarang isu apabila calon tersebut dicadang Perdana Menteri dan kemudian diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memperhalusi latar belakang calon," katanya.

Tambahnya, selepas latar belakang calon diperhalusi dan dipersetujui, ia akan dihantar semula kepada Perdana Menteri untuk dibuat penilaian terakhir sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk lantikan.

Artikel Berkaitan:

"Jika proses ini diikuti, tidak akan berlaku sebarang isu dalam pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa akan datang," katanya.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata demikian ketika diminta mengulas perlantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuatkuasa 1 Jun.

Menurut Kor Ming, isu pelantikan Latheefa lebih kepada pihak yang mempertikaikan proses pelantikan dibuat dan bukan kredibiliti calon berkenaan dan berharap dengan dipinda seksyen berkenaan ia tidak akan berulang masa hadapan.