Vision City: Projek mega berkelas dunia

Pelan induk Vision City.
A
A

VISON City terletak di Nilai, Negeri Sembilan dibangunkan oleh GD Holdings Group merupakan lokasi pembangunan yang terletak di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Nilai.

Projek ini dijangka menjadi sebuah pembangunan bersepadu dan ikonik, malah menjadi mercu tanda bagi mentransformasikan bandar Nilai, di samping menyediakan rumah mampu milik dengan kemudahan lima bintang terutamanya kepada golongan belia.

Ia merupakan projek mega berkelas dunia yang telah di rangka untuk jangka masa lapan tahun sehingga 10 tahun di dalam pelan induk yang komprehensif meliputi kediaman, pendidikan, perdagangan, mesra wanita dan elemen masyarakat.

Dengan adanya pembangunan ini, menjadikan Nilai sebagai sebuah bandar maju dan pesat membangun dilengkapi kemudahan taraf lima bintang yang begitu sesuai dengan gaya hidup masyarakat kini.

Reka bentuk dan infrastruktur diketengahkan juga mampu memberi nilai tambahan dan pilihan terbaik bagi mereka yang mahukan kehidupan di sebuah bandar dinamik, khususnya golongan muda.

Miliki lima fasa utama

Vision City adalah pembangunan pelbagai fungsi terdiri daripada lima fasa utama merangkumi kondominium mewah, hotel, lot-lot kedai, pusat beli-belah, bangunan pejabat, taman tema, pusat perdagangan dan pameran dunia, kolej juga universiti antarabangsa.

Pembangunan ini dibangunkan di atas tanah seluas 20 hektar untuk pembangunan bercampur dengan kawasan pembinaan 10 juta kaki persegi.

Vision city juga akan membina sebuah pusat konvensyen perdagangan dan pameran bagi bahan binaan yang terbesar di Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Kumpulan GD Holdings Group, Huan Woon Han berkata, Youth City adalah projek fasa pertama dalam pembangunan komprehensif Vision City menampilkan kediaman konsep kondominium taraf lima bintang yang mampu dimiliki golongan belia.

"Youth City yang sedang dibangunkan terdiri daripada empat menara dengan empat jenis konsep berbeza dilengkapi kemudahan bertaraf lima bintang terdiri daripada 3,213 unit rumah.

"Nilai pembangunan kasar bagi projek Youth City berjumlah RM1.3 bilion itu juga mampu menarik golongan belia memiliki rumah pada harga mampu milik.

"Youth City boleh diibaratkan sebagai nadi bandaraya baharu untuk generasi muda dan dijangka dapat menjana aliran ekonomi lebih lestari di bandar Nilai,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 70 peratus unit rumah telah terjual bagi Menara A dan B selepas kedua-duanya dilancarkan pada Julai 2017.

"Bagi Menara C, ia dilancarkan pada Februari 2018 dan Menara D dilancarkan pada Jun 2018. Saya yakin, dengan melihat kepada sambutan hebat dan menggalakkan daripada pembeli, baki unit tertinggal dapat dijual kesemuanya menjelang hujung tahun ini," katanya.

Tambahnya, pembangunan Vision City seterusnya adalah pusat pelancongan dan pusat beli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pusat pendidikan antarabangsa.

Beliau menjangkakan kesemua fasa terlibat dalam pembangunan Vision City dapat disiapkan dalam tempoh lapan sehingga 10 tahun.

"Pembangunan menerusi projek mega ini, dibuat demi menawarkan pembeli suatu pembangunan komprehensif terbaik dan pembeli dapat menikmati kehidupan sempurna,” katanya.

Keunikan Vision City

Secara umumnya, Vision City adalah projek mega dibangunkan dengan pelan perancangan komprehensif di kawasan perbandaran Nilai meliputi kediaman, pusat pendidikan antarabangsa, taman tema, kedai komersial, pusat pameran dan konvensyen berkelas dunia dan hotel.

Namun, apa yang menjadikannya unik adalah ia terletak di lokasi strategik iaitu di segitiga emas Nilai dengan berada di antara pelbagai pembangunan berprestij seperti AEON Jusco Mall, Giant & Tesco Hypermarket, McDonalds, KFC dan banyak lagi.

"Pendek kata, Vision City dibangunkan dengan satu tujuan iaitu untuk memberikan fleksibiliti di samping memenuhi misi bagi mempelopori dan mengubah projek melalui kreativiti dan inovasi menerusi gabungan teknologi moden tetapi masih mengekalkan persekitaran mesra alam," katanya.

Woon Han berkata, keunikan lain yang terdapat di Vision City adalah dari segi pusat pendidikan kerana terdapat sebanyak 28 institusi pendidikan utama di Nilai.

"Antaranya adalah Nilai Universiti, Universiti Antarabangsa Inti, University Sains Islam Antarabangsa (USIM), Manipal International Universiti, Epsom Collage & Nilai Antarabangsa Sekolah dan Kolej,” katanya.

Dilengkapi capaian mudah lebuhraya

Dalam pada itu kata, Vision City dihubungkan dan boleh diakses dengan mudah melalui enam Lebuhraya.

"Antaranya Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Lembah Klang (NKVE), Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan terletak berhampiran dengan Transit Aliran Berkelajuan Tinggi pertama Malaysia yang akan merentasi Seremban dan Lapangan Terbang Antarabngsa KL (KLIA) & KLIA 2 hanya 15 minit," katanya.

Menurut Woon Han, pihaknya percaya menerusi projek mega Vision City ini, ia bakal maju kerana pembangunannya berada di kedudukan strategik dan akan merasai kemajuan dalam pembangunan Malaysia Vision Valley yang akan merubah landskap Negeri Sembilan.

"Pembangunan Malaysian Vision Valley bakal menarik pelaburan berjumlah RM290 bilion disebabkan ciri-cirinya di dalam lima kelompok iaitu daerah perniagaan pusat, alam kota, lembah edu-tech, pelancongan dan kesejahteraan dan perbandaran baharu.

"Nilai ini sangat bermanfaat dan berpotensi mencipta 1.38 juta peluang pekerjaan di masa akan datang,” katanya.

Peluang bina pelaburan

Woon Han berkata, memandangkan Negeri Sembilan sedang berkembang pesat, trend ini amat diperlukan untuk menyediakan kepelbagaian perumahan untuk memastikan peratusan pembelian meningkat dalam sektor hartanah.

"Ini jelas dilihat dari segi permintaan untuk unit perumahan daripada penduduk serta pelajar khususnya di Nilai sekaligus meletakkannya sebagai sebuah perbandaran strategik untuk melabur dan sewa beli.

"Disebabkan faktor ini juga, kami menawarkan pembangunan komprehensif supaya dapat dinikmati oleh semua,” katanya.