Dua pelancong lemas di Pulau Redang

Razmi
Razmi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua pelancong tempatan bangsa Cina ditemui lemas dalam dua kejadian berasingan di Pulau Redang, Kuala Nerus, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, kejadian pertama membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 58 tahun dari Petaling Jaya, Selangor dan kes kedua lelaki berusia 23 tahun dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

"Kejadian pertama dilaporkan kira-kira jam 10.25 pagi selepas menerima panggilan daripada pembantu perubatan Klinik Pulau Redang memaklumkan ada seorang lelaki berbangsa Cina meninggal dunia di Klinik Kesihatan Pulau Redang.

"Sebelum kejadian, difahamkan mangsa bersama rakan-rakannya hendak melakukan aktiviti snorkeling sebelum salah seorang daripada mereka yang ketika itu berada di Pasir Akar Pulau Redang ternampak mangsa meminta tolong, kira-kira jam 9.40 pagi.

"Mangsa cuba diselamatkan dengan diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh pengawal snorkeling sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Pulau Redang untuk pemeriksaan dan disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Razmi berkata, kejadian kedua pula dilaporkan kira-kira jam 6.40 petang selepas dimaklumkan seorang pelanggan di sebuah resort di pulau itu mati lemas di kawasan Pasir Panjang, Pulau Redang.

"Kematian mangsa juga disahkan oleh doktor yang bertugas di Redang Laguna Resort.

"Kedua-dua mayat seterusnya di bawa ke Bilik Forensik di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.