Tanam janin tepi rumah, wanita mengaku tak bersalah

Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka selepas didakwa menyembunyikan kelahiran janin bayi lelaki bulan lalu.
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang jurujual wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran janin bayi lelaki berusia enam bulan, November lalu.

Siti Nur Amirah Abdullah Amiran, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa telah menyembunyikan kelahiran janin bayi lelaki dengan cara menanamnya di tepi sebuah rumah di Kampung Padang, Melaka lebih kurang jam 4 petang pada 19 November lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau

denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberikan jaminan lebih rendah dengan alasan dia sebagai jurujual dan perlu menanggung empat anaknya yang masih kecil, manakala suaminya tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Februari depan.