'Bila-bila masa ALLAH boleh ambil nyawa saya'

Asiah menjadikan aktiviti mewarna sebagai terapi buat penyakit yang dihidapi.
A
A

NOR ASIAH NOH,39 atau Asiah adalah pejuang kanser yang cekal, beliau enggan berpaling ke belakang sebaliknya terus ke hadapan melawat penyakitnya itu. Meskipun kanser payudara kini berada pada tahap tiga, beliau tidak pernah mengganggap ia 'penamat' kepada kehidupannya.

Wanita yang berstatus ibu tunggal itu meneruskan kehidupan seperti biasa dan penuh bahagia bersama empat anaknya walaupun sebelah payudaranya sudah dibuang beberapa tahun lalu bagi mengelak ia merebak.

Bagi wanita yang berasal dari Kelantan itu, ajal dan maut sememangnya ketentuan ILLAHI. Cepat atau lambat sahaja, yang sakit belum tentu dijemput awal begitu juga dengan yang sihat. Jom ikuti perkongsian beliau bersama Femina sempena Hari Pejuang Kanser Sedunia dan juga Aidilfitri kali ini.

1) Setiap manusia akan diuji dengan ujian yang berbeza, ada yang mampu ditangani bahkan sebaliknya. Puan telah diuji dengan kanser, bagaimana situasi puan ketika disahkan perkhabaran duka itu?

Saya sudah boleh meramalkan jawapan yang akan diberitahu doktor. Sebenarnya, sudah lama saya mengalami kesakitan pada bahagian payudara. Pada awalnya, saya sangat sedih, diri saya melayang-layang. Sukar untuk terima. Lama saya ambil masa untuk beritahu keluarga.

Sebagai ibu tunggal, ketakutan menyelubungi ketika itu. Jika berlaku apa-apa pada saya, siapa mahu menjaga empat zuriat saya? Ibu menjadi tempat saya mengadu nasib dan berkongsi kasih selepas saya berpisah dengan suami tujuh tahun lalu.

Selepas dua minggu menjana kekuatan dalaman, saya memberanikan diri memberitahu ibu. Walaupun ibu terkejut, namun dia tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat dan motivasi buat saya. Dia minta saya ikut nasihat doktor.

2) Anak-anak merupakan insan yang paling terkesan dengan ujian yang melanda puan, jadi bagaimana pula dengan penerimaan mereka?

Saya ambil masa dua minggu untuk memberitahu ibu, beliau individu pertama yang dapat tahu penyakit saya. Siapa yang tidak terkejut termasuk ibu. Namun, beliau tetap beri kata-kata semangat untuk melawan penyakit itu termasuk mendekatkan diri dengan Tuhan.

Jauh di sudut hati, saya rasa berat hati untuk menceritakan perihal penyakit ini kepada anak-anak. Saya tidak mahu mereka sedih dan berduka. Namun, lama-kelamaan anak-anak seakan dapat menghidu penyakit saya.

Mungkin sebab saya selalu berulang-alik ke hospital dan mengambil pelbagai jenis ubat. Hingga satu masa, anak sulung bertanyakan saya berkenaan diri saya. Dia boleh mengagak dan saya hanya mengiyakan pertanyaannya.

Saya nampak wajahnya berubah dan sebak. Dia minta saya kuatkan semangat. Walaupun dia menyedari hayat ibunya tidak panjang, saya nampak dia berusaha untuk melihat saya pulih.

Dia kaji penyakit saya melalui internet dan minta saya lakukan sesuatu untuk kembali sembuh. Ya, atas sokongan beliau, saya kini mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil pemakanan yang berkhasiat. Perkara-perkara negatif saya buang jauh-jauh.

Memandangkan saya tinggal berasingan dengan anak-anak, dua daripadanya tinggal di Kelantan bersama ibu manakala dua lagi di asrama sekolah, saya akui hidup agak sunyi. Justeru itu, saya isi kekosongan dengan mengambil tempahan membuat kuih. Bila diganggu aura negatif, saya akan mewarna. Ia satu terapi buat saya.

Empat anak menjadi tulang belakang buat ibu tunggal yang cekal ini.
Empat anak menjadi tulang belakang buat ibu tunggal yang cekal ini.

3) Pada waktu malam sebelum tidur, adakah puan pernah terfikir andai kata keesokan harinya suami dan anak-anak akan kehilangan anda selama-lamanya?

Alhamdulillah, bila sudah lama tidak menjalani rawatan kimoterapi, badan saya rasa lebih selesa dan dapat tidur lena. Saya seboleh-bolehnya mengelak daripada berfikir perkara-perkara yang negatif.

Kanser sebenarnya adalah penyakit jiwa, bila kita sedih atau tertekan ia akan menguasai badan kita. Jika kita lemah sel-sel kanser lagi cepat merebak. Justeru itu, saya memilih untuk hidup seperti biasa.

Kematian itu bila-bila masa boleh datang tidak kira orang yang berpenyakit mahupun sihat walafiat. Pun begitu, saya sentiasa reda bila-bila masa sahaja ajal saya sampai.

4) Puan seorang wanita yang cekal dan tabah, bahkan boleh dijadikan contoh buat wanita yang mengalami nasib yang sama. Jadi, apa nasihat puan kepada mereka yang senasib dengan puan?

Nasihat saya kepada mereka, selagi tidak berputus asa selagi itu anda tidak akan tahu sejauhmana kekuatan anda. Hanya orang yang merasa (sakit) akan tahu kekuatan diri sendiri sehingga mereka berputus asa.

Jangan jadikan kerjaya sebagai halangan untuk anda menjalani rawatan. Jika saya boleh kenapa tidak anda? Yang penting, anda sendiri kena kuat, kena tunjukkan kekuatan anda kepada keluarga, rakan dan orang di sekeliling kita.

Ingat, tidak ada manusia yang mahukan penyakit ini. Pada masa sama, jaga pemakanan dengan mengurangkan makanan berminyak dan tinggi gula.

5) Adakah puan pernah terfikir andainya Aidilfitri atau Ramadan kali ini merupakan yang terakhir?

Saya ada terfikir namun saya tetap teruskan sambutan Aidilfitri bersama anak-anak. Cuma sambutannya tidak meriah seperti sebelum ini, ala kadar sahaja. Apa yang penting saya dapat bersama anak-anak, ibu bapa dan adik beradik pada hari raya nanti di Kota Bharu.

Sebenarnya jika difikirkan soal kematian, bila-bila masa ALLAH boleh ambil nyawa saya termasuk ketika saya ditemu ramah awak (wartawan). Saya sentiasa positif dan seboleh-bolehnya tidak mahu berfikir tentang penyakit yang bersarang dalam diri saya sekarang.

Asiah kini menjalani kehidupan sihat serta menjaga pemakanan mengikut saranan doktor.
Asiah kini menjalani kehidupan sihat serta menjaga pemakanan mengikut saranan doktor.

PROFIL:

NAMA PENUH: Nor Asiah Noh

PANGGILAN: Asiah

UMUR: 39 tahun

ASAL: Kota Bharu, Kelantan

STATUS: Ibu tunggal

BILANGAN ANAK: Empat orang, semua lelaki

PEKERJAAN: Pembantu Tadbir Undang-undang di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya