Remaja bawah umur pandu kereta ditahan JPJ

Remaja berusia 15 tahun tersebut disaman mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah umur. (Gambar kecil: Ismasuhaimi)
Remaja berusia 15 tahun tersebut disaman mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah umur. (Gambar kecil: Ismasuhaimi)
A
A
A

JITRA - Seorang remaja berusia 15 tahun mengambil risiko memandu kereta dengan membawa tiga lagi penumpang yang dipercayai sepupu dan rakan yang juga berusia belasan tahun sejauh lebih 30 kilometer dari Kuala Nerang ke Jitra, di sini untuk membeli barang, semalam.

Bagaimanapun tindakan tersebut membawa padah apabila dia ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu sekatan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Taman Tunku Maheran, di Jitra dalam Operasi Penguatkuasaan Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2019 pada jam 11.30 malam.

'Lakonan' remaja itu memandu kereta jenis Proton Waja dengan bersahaja gagal apabila Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff sendiri yang menahan kenderaan berkenaan selepas mendapati reaksi mencurigakan ditunjukkan pemandu.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati remaja itu mengaku tidak memiliki lesen memandu dan disaman mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah umur.

Ismasuhaimi berkata, pemilik kenderaan turut disaman mengikut seksyen sama selepas remaja tersebut memandu tanpa lesen.

"Dua saman dikeluarkan di atas kesalahan ini iaitu kepada remaja tersebut memandu di bawah umur dan satu lagi kepada pemilik kenderaan.

"Remaja itu dibenarkan pulang dan rakannya yang mempunyai lesen membawa kereta tersebut ke Kuala Nerang," katanya pada sidang akhbar selepas operasi berkenaan.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar memantau pergerakan setiap anak mereka kerana ada yang menggunakan kenderaan tanpa pengetahuan penjaga ataupun waris.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismasuhaimi berkata, sebanyak 93 saman dikeluarkan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 480 kenderaan bermula jam 8.30 sehingga 12.30 malam.

Operasi bersepadu tersebut turut membabitkan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), PDRM, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah dengan kekuatan anggota keseluruhan seramai 113 orang.