Dadah NPS undang maut

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dadah sintetik terutamanya yang dikategorikan di bawah bahan psikoaktif baru (NPS) mampu mengundang kesan buruk kepada penagihnya.

Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi, Pusat Perubatan UKM, Prof Madya Mohd Hasni Jaafar berkata, individu yang memasukkan dadah NPS ke dalam badan akan berhadapan dengan kerosakan hati iaitu menyebabkan kekuningan dan kegagalan hati sehingga membawa maut.

Mohd Hasni
Mohd Hasni

Malah, menurutnya, individu berkenaan juga bakal berhadapan halusinasi visual dan gangguan tingkah laku susulan pengambilan dadah jenis NPS berkenaan.

“Kajian-kajian di luar negara telah banyak dilakukan. Antara yang terbaru kajian toksikologi pada organ hati di Jerman mendapati NPS adalah lebih memudaratkan daripada metaphetamine.

“Kajian lain di Perancis mendapati NPS terutamanya candu tiruan memerlukan dos yang rendah sehinggakan makmal sekarang tidak dapat mengesannya dalam air kencing,” katanya kepada Sinar Siasat.

Hasni berkata, kajian di Serbia pula membabitkan 58 pesakit berumur antara 14 hingga 25 tahun yang menggunakan ganja sintetik.

Menurutnya, kajian berkenaan mendapati 91 peratus mengalami denyutan jantung pantas, pembesaran anak mata (53%), loya, muntah dan tidak keruan (27%), pening kepala (17%), kecelaruan (15%), serta sesak nafas dan sakit dada (7%). Bagaimanapun, menurutnya, sehingga kini tiada kajian dilakukan untuk melihat kesan NPS pada sistem otak. “Kebanyakannya adalah pada haiwan. Apa yang pengkaji dapati ialah NPS yang majoritinya sistetik ganja menyebabkan gangguan fisiologi pada neurotransmitor seperti serotonin dan dopamin yang akibatnya menyebabkan rasa khayal dan seronok.

Artikel Berkaitan:

“Ia hanya perlu dos yang kecil. Kalau lebih sedikit boleh menyebabkan kecelaruan, halusinasi, keresahan dan ketakutan. Dos lebih tinggi boleh menyebabkan sawan dan mungkin kematian," katanya.

Cabaran buat AADK

Dadah new psychoactive substance (NPS) yang dipercayai mula menular dalam kalangan pengguna dadah memberi cabaran getir kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah di Malaysia.

Zulkifli
Zulkifli

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, apatah lagi kini statistik jumlah penyalahgunaan dan penagih dadah keseluruhannya seramai 161,945 orang daripada jumlah penduduk Malaysia yang berjumlah lebih 32 juta orang. Mengikut rekod, kumpulan usia antara 19 dan 39 tahun adalah antara yang ramai terjebak dadah iaitu sebanyak 70 peratus.

“Penularan dadah NPS wajar dibimbangi kerana ia berkemungkinan menjadi faktor peningkatan penagih dadah di negara ini.

"Menyedari cabaran yang dihadapi setiap tahun, dalam Konvensyen Suruhanjaya Dadah Antarabangsa (CND) akan disenaraikan dadah-dadah baharu di bawah Single Convention on Narcotic Drugs 1961 dan Convention on Psychotropic Substances 1971.

“Setiap kali pihak berkuasa mengesan dadah NPS, sindiket pemprosesan dadah akan mengubah struktur kimia dadah tersebut supaya bahan yang digunakan tidak termasuk dalam kesalahan sedangkan kita berusaha menentukan dadah jenis baharu itu disenaraikan sebagai dadah supaya boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Menurutnya, dadah NPS di negara ini tergolong sebagai legal high yang mempunyai kesan sama seperti dadah sintetik lain yang popular.

“Sehubungan itu, kita perlukan pemantapan prosedur laporan urin bagi dadah jenis NPS untuk membolehkan tindakan undang-undang dibuat terhadap penyalahgunaan dadah jenis ini. "Sebab inilah kita mahu kerajaan menilai supaya bahagian patologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Jabatan Patalogi di mana-mana hospital supaya mendapat kemudahan lebih baik untuk prosedur urin,” katanya.

No Image Caption

Tambah Zulkifli lagi, dalam usaha menguatkan benteng agensi pembanterasan dadah itu, pengetahuan berkaitan dadah NPS dalam kalangan warga AADK dipertingkatkan.

“Kita sebagai agensi nak rawat pun perlu tambah baik kapasiti pegawai-pegawai sebab ketagihan adalah berbeza-beza antara penagih dadah NPS dan penagih dadah jenis heroin, morfin dan lain-lain lagi.

“AADK memandang isu dadah jenis NPS ini sebagai serius kerana trend pengunaannya makin meningkat. Mungkin penagih nak cari yang lebih cepat high lagi pun dadah jenis baharu lebih mudah kerana biasa dalam bentuk pil, serbuk serta boleh didapati dalam bentuk lebih kecil.

“Mungkin ia boleh bermula di sekolah. Oleh itu, kita akan beri tumpuan besar terhadap strategi baharu kita melalui pendidikan pencegahan sebagai tindakan jangka masa panjang menangani masalah dadah (termasuk NPS) di peringkat akar umbi,” katanya.