Cara Itali punggah sisa plastik

No Image Caption
A
A
A

ROM - Pada malam diterangi bulan di pantai Itali, sekumpulan nelayan sedang sibuk mengangkut hasil tangkapan termasuk sisa plastik.

Tetapi, kali ini mereka tidak akan membuangnya semula ke laut.

Sebaliknya, sampah sarap itu dikumpulkan, dianalisis dan mungkin dikitar semula dalam percubaan awal bulan pertama bagi menyediakan pelan tindakan untuk membersihkan laut.

"Kebanyakan nelayan membuang semula sampah ke dalam laut kerana undang-undang menetapkan ia tidak boleh dibawa pulang ke darat. Mereka tidak dibenarkan membawa pulang sampah ke pelabuhan kerana tidak jelas siapa yang akan melupuskan sampah sarap tersebut," kata penyelaras projek Clean Sea Life, Eleonora de Sabata.

Dilema itu diharap tidak menjadi isu besar kepada kira-kira 40 bot nelayan yang berlayar dari pantai Adriatic di bandar San Benedetto del Tronto yang mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut.

Sejak projek itu dilancarkan, nelayan telah mengumpulkan kira-kira satu tan sisa sampah seminggu selama sebulan dan 60 peratus daripadanya adalah plastik.

Setiap hari, sukarelawan akan mengasingkan sampah sarap tersebut dan sebahagian daripadanya turut dikitar semula bersama sisa buangan rumah serta industri.

Projek yang berakhir pada Jumaat lalu, sehari sebelum sambutan Hari Laut Sedunia dijangka akan diperluaskan sepanjang bulan musim panas.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian sisa plastik yang terperangkap dalam pukat ditarik bersama hasil laut.
Sebahagian sisa plastik yang terperangkap dalam pukat ditarik bersama hasil laut.

Penganjur program itu berharap ia dapat memberi jalan penyelesaian kepada pengurusan sisa sampah yang boleh diperluaskan ke seluruh Itali dan sekitarnya.

Lambakan sisa plastik

Kebanyakan sampah-sarap itu terdiri daripada botol, pinggan, sudu dan garfu serta pelbagai objek plastik lain.

Nelayan, Claudio Uriani, 62, turut mengasingkan sisa sampah itu dalam bekas yang berbeza untuk dijual.

Sampah paling banyak dikumpulkan adalah plastik.

"Andai kata kami tidak mengumpulkan sampah sarap itu. Tiada siapa akan mengambil inisiatif tersebut. Jika ikan makan plastik, kita juga akan menerima kesannya," kata Uriani yang telah menjadi nelayan sejak 1972.

Laut Mediterranean berdepan masalah itu kerana perairannya dikelilingi populasi penduduk yang padat.

Kajian dilakukan Public Library of Science (PLOS) diterbitkan pada 2015 menganggarkan terdapat 1,000-3,000 sisa plastik terapung di Mediterranean manakala jumlah di dasar laut tidak diketahui.

Laporan PLOS mendapati Sungai Nile mengalirkan kira-kira 1,500 tan sisa plastik ke Mediterranean pada setiap tahun.

Sisa plastik yang banyak turut dijumpai dalam perut paus sperma yang terdampar di pantai Itali.

"Sampah sarap yang mencemari laut biasanya dihanyutkan dari tasik dan sungai. Sangat penting untuk mendidik masyarakat tentang kesan pencemaran laut ini," kata ketua pelabuhan, Mauro Colarossi.

Setiap sisa sampah itu diasingkan sebelum dibawa pulang ke pelabuhan.
Setiap sisa sampah itu diasingkan sebelum dibawa pulang ke pelabuhan.

Nilai eksperimen

Mac lalu, ahli Parlimen Eropah meluluskan undang-undang baharu melarang penggunaan produk plastik tunggal di Kesatuan Eropah (EU) bermula 2021.

Parlimen Itali juga turut membentangkan draf undang-undang mengenai pengendalian sisa sampah sedia ada.

Di bawah undang-undang semasa, nelayan boleh didakwa mengangkut sampah sarap secara haram jika mereka membawa sisa sampah yang ditarik bersama pukat hasil tangkapan ke darat.

Dianggarkan, 80 peratus daripada sampah sarap di laut dibuang dari darat manakala 20 peratus lagi adalah sisa industri perikanan.

"Nilai eksperimen ini adalah untuk mengetahui apa yang terdapat pada dasar laut, memahami sisa sampah yang dapat dikitar semula dan cara menguruskannya. Semua maklumat ini akan membantu para pembuat keputusan membuat keputusan politik," kata De Sabata.

Setakat ini, satu perempat sisa sampah yang dikumpulkan boleh dikitar semula, namun ia masih bergantung kepada keadaan polimer dalam plastik itu berikutan ia berada untuk tempoh yang lama dalam air masin.

Masa untuk bertindak

Masalah pencemaran bukan sekadar menghalang plastik memasuki rangkaian makanan.

Menurut nelayan, jika tong cat ditarik bersama pukat dari jarak 100 meter di bawah dasar laut, seluruh tangkapan itu telah tercemar dan perlu dibuang.

Selain itu, ada yang mendakwa mereka 'menangkap' lebih banyak sampah sarap berbanding hasil laut.

"Masalahnya adalah di laut, namun jalan penyelesaiannya adalah di darat. Terdapat keperluan untuk penyelesaian politik. Kita perlu bertindak," tegas De Sabata lagi.

Sementara itu, kapten Stefano Voltattorni turut menyambut baik usaha tersebut.

"Jika kita melakukan langkah ini secara berterusan, laut akan menjadi bersih," tambahnya. - AFP