Pakaian seragam ganti baju raya

Bertugas di hari raya menjadi perkara biasa buat anggota APM.
Bertugas di hari raya menjadi perkara biasa buat anggota APM.
A
A
A

SEREMBAN - Tidak berpeluang meraikan Syawal pertama bersama keluarga tercinta merupakan lumrah biasa yang dilalui anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan.

Meskipun sedih namun itulah pengorbanan yang perlu dilakukan mereka apabila memilih menyertai pasukan berkenaan.

Malah pakaian seragam APM itulah yang menjadi baju raya mereka saban tahun kerana tuntutan tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat.

Bagi Norazliena Mohd Ali, 27, sepanjang sembilan tahun berkhidmat sebagai anggota sukarela APM, dia sudah lali apabila terpaksa menyambut hari raya di tempat kerja.

“Jika tanya orang lain mungkin mereka sedih kerana tidak dapat raya bersama keluarga tapi saya pula seronok dan bangga berbaju raya seragam APM.

“Biasanya pada pagi Syawal itu kami masing-masing bawa juadah raya sendiri secara ‘potluck’ dan suasana itu lagi menyeronokkan. Emak pagi-pagi lagi akan siapkan bekal untuk saya bawa ke tempat kerja,” katanya.

Norazliena berkata, dia bersyukur kerana ibu bapanya sangat memahami dan biasanya mereka sekeluarga akan pergi beraya selepas habis waktu bekerja.

Katanya, dia juga membuat persediaan hari raya sama seperti orang lain termasuk membeli sepasang baju raya.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan Nasriq Zainal, 32, yang tidak pernah berpeluang menyambut raya pertama dengan keluarga sepanjang 12 tahun berkhidmat.

“Tipulah kalau tak sedih, nak pula bila dengar takbir raya. Tapi semua itu sudah biasa bagi saya. “Sebenarnya rasa sedih itu lagi kuat bila kita terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa kemalangan. Saya mesti terbayang bagaimana jika itu adalah ahli keluarga saya,” katanya.

Pakaian seragam APM menjadi baju raya mereka di pagi Syawal.
Pakaian seragam APM menjadi baju raya mereka di pagi Syawal.

Antara yang tidak dapat dilupakan Nasriq ialah peristiwa seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dilanggar dan tercampak ke dalam longkang selepas balik dari sembahyang raya di Mantin beberapa tahun lalu.

Katanya, insiden sebegitu menyebabkannya sedikit emosi kerana hari raya yang sepatutnya semua bergembira bertukar menjadi sedih.

Lain pula dengan Mohd Zairi Zakaria, 38, yang bersyukur kerana setelah enam tahun berkhidmat Aidilfitri kali ini berpeluang pulang beraya di kampung isterinya di Kedah.

“Biasanya kalau tiba giliran beraya di kampung isteri, saya tetap akan hantar mereka pulang ke kampung. “Apakan daya khidmat saya lebih diperlukan setiap kali musim perayaan. Tapi nampaknya raya tahun ini, kami sekeluarga raya sakan kerana saya dapat cuti pada raya pertama dan kedua,” katanya.

Dia yang bertugas sebagai pemandu kenderaan operasi berkata, selain kemalangan, khidmat menangkap ular merupakan antara yang kerap berlaku setiap kali musim perayaan.

Menurutnya, operasi menangkap haiwan berbisa itu boleh dikatakan pada setiap hari terutama di kawasan perumahan.

“Tangkap ular waktu hari raya di rumah orang sudah biasa. Sebenarnya inilah peluang untuk kami beraya. Sambil tangkap ular, tuan rumah jamu kami dengan kuih raya, lemang dan rendang.

“Sukar digambarkan perasaan itu bila kita dapat berkhidmat untuk masyarakat dan serta merta perasaan sedih kerana tidak dapat bersama keluarga itu terus hilang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Seremban, Md Fadir Md Nor berkata, anggota bercuti pun perlu berasa dalam keadaan bersiap sedia dan adakalanya perlu dipanggil bertugas jika berlaku kes kecemasan besar. “Inilah pengorbanan anggota keselamatan. Nyawa orang awam itu jadi keutamaan apabila kami memilih untuk berkhidmat,” katanya.