Kontroversi dan misteri SPRM

A
A
A

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memilih tarikh yang luar biasa untuk membuat pengumuman penting bagi satu jawatan yang penuh rahsia. Sehari sebelum sambutan hari raya Aidilfitri, kerajaan mengumumkan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Pelantikan ini sangat luar biasa kerana Latheefa bukan penjawat awam seperti mana ketua-ketua SPRM sebelum ini. Walaupun terdapat ketua dari luar, namun mereka yang dilantik ke jawatan tersebut mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, siasatan jenayah dan undang-undang jenayah.

Sebaliknya Latheefa tidak mempunyai apa-apa merit tinggi untuk menguruskan sebuah suruhanjaya yang begitu penting dan kritikal kepada negara. Satu-satunya kebolehan Latheefa ialah beliau mempunyai suara lantang dan tidak takut bersuara sama ada di pihak yang benar atau tidak.

Ini kali pertama dalam sejarah SPRM mendapat ketua melalui lantikan politik. Adalah sangat misteri dalam sebuah negara yang telah matang demokrasi, kerajaan memilih ahli politik sebagai ketua agensi penyiasat dan penguat kuasa.

Kerajaan tidak boleh menafikan bahawa lantikan itu merupakan lantikan politik kerana tiada alasan pentadbiran langsung untuk pelantikan tersebut. Saya fikir ada beberapa sebab politik mengapa Dr Mahathir melantik Latheefa.

Walaupun kebanyakan media menyebut Latheefa sebagai Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, namun beliau ialah bekas ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan masih merupakan aktivis politik parti tersebut sehingga dilantik

Latheefa diketahui sebagai aktivis politik pro-sosialis melalui Parti Rakyat Malaysia (PRM). Selepas penggabungan PRM dan PKR beliau memegang beberapa jawatan penting dalam PKR. Latheefa turut menjadi Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya 2008-2012 sebelum meletak jawatan dan menuduh Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim merancang memecat beliau.

Sejak itu, Latheefa dilihat sebagai jurucakap dan penyokong kuat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali. Beliau antara paling lantang menentang Langkah Kajang Rafizi Ramli untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim (kemudiannya Datuk Seri Wan Azizah) sebagai Menteri Besar Selangor.

Artikel Berkaitan:

Sejak setahun lalu, Latheefa juga lantang menyerang kem Anwar Ibrahim terutama ketika pemilihan PKR yang lalu dengan menuduh kem Rafizi terbabit rasuah. Beliau juga tidak segan silu mengkritik secara keras keputusan yang membabitkan kementerian di bawah Wan Azizah.

Latheefa juga merupakan peguam kepada Azmin Ali dalam saman Puncak Niaga ke atas Menteri Besar Selangor. Dengan kata lain, dalam politik atau profesion guaman Latheefa akan dilihat sebagai orang Azmin.

Latheefa juga merupakan bekas peguam di firma guaman Daim and Gamany yang berkaitan dengan supremo politik negara sekarang, Tun Daim Zainuddin.

Maka daripada bacaan politik parti kerajaan ada sesuatu yang sedang bergolak apabila Dr Mahathir memilih untuk melantik seorang individu tanpa merit jelas, tetapi penentang kuat kem Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Latheefa dilahirkan di Kerala, India dan sepanjang kerjaya sebagai aktivis politik beliau mempunyai pendapat yang sering bercanggah dengan pihak berkuasa agama Islam.

Justeru, setelah melantik Menteri Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara bukan Islam, Dr Mahathir memilih wanita Muslim yang dilihat sentiasa mempertikaikan pandangan pihak berkuasa agama Islam sebagai ketua sebuah agensi.

Apa pun kontroversi pelantikan ini, akhirnya tindakan dan kenyataan Latheefa semasa menjalankan tanggungjawab beliau sebagai ketua SPRM akan dinilai orang. Setiap keputusan dan kenyataan SPRM selepas ini akan mudah mengundang banyak prejudis.

Bukan sahaja pelantikan Latheefa yang kontroversi, pengunduran Mohd Shukri Abdull juga sangat misteri. Beliau dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh dua tahun iaitu mulai 18 Mei 2018 sehingga 17 Mei 2020.

Namun, Mohd Shukri mengambil keputusan mengundur diri sebelum tamat kontrak. Daripada seorang yang berpendirian teguh dan mempunyai azam yang kuat, tiba-tiba Mohd Shukri menjadi tidak berdaya sehingga memohon berhenti awal.

Khabar angin sejak beberapa bulan lalu kononnya Mohd Shukri tidak lagi sependapat dengan kerajaan apabila beberapa kes yang disiasat oleh SPRM dan diperakui untuk pendakwaan telah disenyapkan begitu sahaja.

Khabar angin ini hanya sekadar desas-desus kecualilah jika tiba-tiba Mohd Shukri menemui semula keberanian seperti mana beliau menentang Perdana Menteri sebelum ini.