Sindrom demam poket kosong selepas Hari Raya Aidilfitri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Hari ini majoriti umat Islam di Malaysia sudah bekerja selepas seminggu berada dalam ‘mood’ Aidilfitri.

Keghairahan menyambut hari raya sudah dirasai pada minggu kedua bulan Ramadan bila ibu bapa sibuk membuat persiapan hari raya.

Beli baju baharu untuk keluarga, borong biskut raya dan tukar langsir, pendek kata serba-serbi baharulah. Bukan kecil belanja untuk beli semua benda baharu itu. Mahu berhabis separuh duit gaji.

Bak kata sesetengah orang, ‘Tak apalah, rayakan setahun sekali saja.’

Itu cerita sebelum raya. Apa pula cerita selepas raya. Bila dah habis seronok beraya, mak ayah mulalah belek-belek dompet, periksa akaun bank dan kira duit lebihan yang tinggal.

Bila sudah tahu berapa lagi baki duit dalam dompet dan akaun bank, mulalah mak ayah kena penyakit yang datang setahun sekali iaitu ‘demam selepas raya’.

Bajet bulan ini nampaknya sudah terbabas jauh. Defisit belanjawan keluarga tinggi dan nak tunggu hari gaji baharu lambat lagi.

Mak ayah sudah mula garu kepala di tempat yang tak gatal.

Artikel Berkaitan:

Tapi demi meneruskan ‘survival’ sekeluarga untuk bulan ini, mak ayah mula buat baik luar biasa dengan anak-anak.

Secara tiba-tiba jugalah anak-anak jadi penyelamat keluarga bila duit raya mereka jadi bahan pinjaman mak ayah untuk menampung perbelanjaan berlebihan bulan raya.

Bagi yang bujang pula, bertambah lagi hutang baharu dengan rakan serumah atau teman sepejabat. Paling tidak pun menu mi segera jadi santapan harian.

Tak apalah. Raya pun setahun sekali saja? Apa yang penting kegembiraan berhari raya bersama keluarga dan sanak saudara di kampung tak dapat dibeli dengan wang ringgit.